Nampak gayanya semua golongan adalah berisiko tinggi tanpa mengenal usia, jantina dsb, itulah pentingnya Pemeriksaan Sendiri Payudara secara rutin (untuk semua) & Menjalani Ujian Mamogram secara berkala (wanita berusia 40 tahun dan ke atas).
Ingatan untuk diri sendiri & semua.
KOTA BHARU - Seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun dari Pantai Cahaya Bulan (PCB) dikesan mengidap kanser payudara.
Ketua Jabatan dan Perunding Pembedahan Payudara dan Endoktrin Hospital
Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Dr Imi Sairi Ab Hadi berkata,
penemuan tersebut dianggap bukan sahaja paling muda di negara ini,
malahan berdasarkan kajian, termuda di dunia.
Katanya, setakat ini pesakit kanser payudara termuda adalah kanak-kanak berusia 10 tahun dari Amerika Syarikat.
“Pada Oktober tahun lalu, saya anggap ini adalah penemuan dalam sejarah
perubatan apabila seorang kanak-kanak berusia enam tahun mengalami
masalah payu daranya mempunyai biji sebesar dua sentimeter (cm).
“Setelah menjalankan pembedahan dan biji tersebut dihantar untuk
kajian, hasilnya mengesahkan dia mengalami kanser payu dara dan sehingga
kini masih menerima rawatan di hospital ini secara temu janji,” katanya
semasa ditemui di HRPZ II, di sini, hari ini.
Dr Imi Sairi berkata, kanak-kanak tersebut kini berusia tujuh tahun dan
kemungkinan kanser itu berlaku disebabkan faktor genetik, namun ibu
bapa kanak-kanak tersebut tiada hubung kait mengenai penyakit berkenaan.
Bagaimanapun, kanser yang dialami kanak-kanak berkenaan berada pada peringkat awal mungkin tahap pertama atau kedua.
“Kanser payudara adalah pembunuh nombor satu bagi wanita di Malaysia,
namun di Kelantan, berdasarkan jantina lelaki dan perempuan, kanser
payudara menjadi penyebab kedua kematian selepas kanser usus.
“Masalah kanser payudara dikawal melalui saringan awal bagi wanita yang
cukup usia 40 tahun untuk menjalankan mamogram,” katanya.
Kata beliau, berdasarkan rekod HRPZ II, terdapat 2,262 pesakit secara
keseluruhan mengalami kanser dan paling ramai adalah payudara 593
pesakit, diikuti kanser usus 262 dan ovari 183 pesakit, termasuk kanser
tiroid, serviks dan leukemia.
Beliau mengakui hampir 50 peratus pesakit kanser di negeri ini datang
mendapatkan rawatan di hospital setelah penyakit tersebut kronik di
peringkat tahap ketiga dan keempat.
Katanya, kanser payudara juga turut dihidapi pesakit lelaki, namun kaum
tersebut lebih menderita akibat penyakit kanser usus dan prostat.
Untuk rekod, Hannah Powell-Auslam, 10, dari Southern California,
Amerika Syarikat mengejutkan dunia apabila menjadi gadis paling muda di
dunia yang diserang kanser payudara.
Keputusan doktor itu diterima April 2009 dan ia telah menjalani
pembedahan kanser yang jarang berlaku yang disebut invasive secretory
carcinoma. Menurut catatan perubatan kanser ini diketahui pertama kali
menyerang kanak-kanak pada 1960, tetapi hingga sekarang tiada maklumat
terperinci mengenai kes berkenaan.
Sumber:
Sinar Harian