Followers

Saturday, November 19, 2011

Puting sakit ketika menyusukan anak

Soalan:
SAYA ibu yang menyusu bayi pertama berusia sebulan. Seringkali puting saya sakit ketika menyusukan bayi, tambahan pula bayi saya baru tumbuh gigi, kini sukar untuk saya menyusukan bayi dengan selesa. Adakah ia perkara biasa? dan bagaimanakah cara untuk mengurangkan rasa sakit tersebut?
 
* SJ-Johor

Jawapan: 

Sebagai seorang wanita yang bergelar ibu, terlebih dahulu saya ingin mengucapkan syabas kepada Puan SJ kerana berusaha menjadi seorang ibu yang berjaya dalam penyusuan. Susu ibu adalah hak setiap anak yang perlu ditunaikan oleh seseorang ibu. Kejayaan seseorang ibu menyusui anaknya sehingga berusia sekurang-kurangnya dua tahun akan menjadikan anda seorang ibu yang cukup sempurna.

Menyusui bayi adalah satu tuntutan yang amat digalakkan oleh setiap agama dan kepercayaan. Penyusuan susu ibu adalah tuntutan yang diutamakan dalam agama Islam. Terdapat banyak ayat Al-quran yang menyebut tentang kepentingan menyusui anak, sama ada oleh ibu yang melahirkan anak ataupun ibu susuan. Seruan untuk menyusui anak telah disebut melalui firman Allah di dalam Al-quran melalu surah Al-Baqarah ayat ke 233 yang bermaksud: "Ibu-ibu hendaklah menyusui selama dua tahun genap bagi mereka yang ingin menyempurnakan penyusuan". 

Menyusui bayi dengan susu ibu bukanlah sesuatu yang payah, ia juga bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan. Pengetahuan tentang penyusuan akan membantu meningkatkan keyakinan ibu dan seterusnya mendorong ibu untuk mengatasi dugaan dan rintangan seperti mana yang sedang puan hadapi.

Terdapat ibu yang mencerai susu ketika mereka rasa bayi mereka akan mula tumbuh gigi, tetapi menyusu badan pada peringkat ini adalah suatu yang normal dan semula jadi. Keperluan nutrisi bayi dipenuhi terutamanya dengan susu untuk sekurang-kurangnya tahun pertama. Ramai bayi yang diberi susu badan akan ada gigi dan kebanyakan tidak akan menggigit ibu mereka. 

kesakitan
Tetapi jika pada kali pertama dia menggigit, iaitu jika bayi anda tergigit payu dara anda, barangkali anda akan menjerit kesakitan. Reaksi anda yang kuat itu mungkin akan memeranjatkan bayi anda sehingga dia tidak berani mengulanginya. Sesetengah bayi boleh menjadi begitu terkejut atau takut akibat reaksi kuat sehingga mereka menolak penyusuan badan. 

Jika gigitan berterusan, anda masih tidak perlu mencerai susu bayi anda kecuali jika anda mahu. Mengetahui apa yang menyebabkan dia menggigit dan cuba memuaskan keperluan bayi anda untuk menggigit menggunakan cara lain boleh menyelesaikan masalah ini dengan cepat. 

Kebanyakan ibu mendapati penyusuan badan tetap pengalaman yang baik apabila mereka dapat hentikan kejadian menggigit ini. Sebab-sebab lain mengapa bayi anda menggigit adalah ketika tertidur, sesetengah bayi menggigit pada penghujung penyusuan apabila mereka terlelap. 

Oleh itu, perhatikan pemerlahanan dan pelemahan pergerakan rahangnya dan alihkan bayi anda sebelum dia terlena. Justeru itu, jika bayi anda kelihatan seperti hampir hendak menggigit, masukkan jari kelengkeng anda ke dalam sudut mulut di antara gusinya. Dia patut menggigit jari anda dan bukan puting anda. Jangan tariknya sementara dia sedang menggigit - anda hanya akan mencederakan diri. Perhatikan penegangan rahangnya sebelum dia menggigit dan cepat-cepat alihkannya. Anda mungkin perlu singkatkan waktu menyusu secara am sehingga fasa ini berakhir. 

Cara-cara lain untuk menghentikan bayi yang menggigit adalah dengan mengatakan "tidak" dengan tegas, merenung ke dalam matanya dengan marah dan hentikan penyusuan. 

menggigit
Dia perlu mengaitkan menggigit dengan kehilangan puting - kebanyakan bayi tidak suka dengan perpisahan ini. Jika dia teruskan juga, letakkannya di atas lantai untuk seketika sebaik saja dia menggigit. 

Untuk kanak-kanak yang boleh berjalan dan suka menggigit, lakukan sesuatu yang baik apabila dia tidak menggigit. 

Berikannya banyak pelukan, ciuman dan pujian. Jika anda rasa dia inginkan perhatian, berikan perhatian sepenuhnya semasa penyusuan. Belajar menyedari bila dia sudah hampir selesai. Anda juga jangan menyusukannya kecuali dia betul-betul lapar. Hentikan penyusuan jika dia mula terlelap. Berikannya gegelang gigit sebelum dan atau selepas penyusuan.

Sumber: Utusan

Saturday, October 15, 2011

Tawar Susu Ibu di Internet

Sebenarnya isu di atas sedang hangat diperkatakan sejak kelmarin lagi, ia terdapat di dalam ruangan RATU Berita Harian.

Sejujurnya diri ini kurang pasti tentang isi kandungan sepenuhnya artikel tersebut, terlepas pandang semasa membaca Berita Harian (maklumlah cuma sempat membacanya sepintas lalu) tup2 semasa buka FB, ia sedang hangat diperdebatkan.

Setelah membaca artikel ini di Berita Harian Online (Ratu), ia masih diawang2an sebab ringkas dan tidak dijelaskan secara terperinci.

Percayakah perahan susu badan wanita berlambak di pasaran dan kini dijual di internet?
Walaubagaimanapun, tajuk diatas yang tercatat di dalam FB berita harian telah menyentap jantung ini, amat sensitif bagi kami ibu2 yang memilih menyusukan anak biarpun dihimpit kesibukan sebagai seorang ibu yang bekerjaya...

Artikel ini telah memaksa pihak human milk 4-human babies-malaysia menulis surat kepada pihak editor BHarian  'Artikel terpesong tentang Human Milk 4 Human Babies- surat kepada editor' .

Moga ada jalan penyelesaian dan pembetulan fakta dapat diperjelaskan dengan terperinci bagi mengelak kekeliruan ibu2 muda diluar sana yang sedang mencari maklumat tepat mengenai penyusuan ibu buat tersayang.

Kita 1 Malaysia, harap2 salah faham ini boleh diselesaikan dengan aman, insya allah

Wednesday, October 12, 2011

Pengurusan Plasenta @ Uri ???

ihsan en. google
Islam tidak menyuruh umatnya mengurus uri seperti jenazah. Apa yg perlu hanyalah di basuh, kemudian tanam di tempat yg selamat, maksudnya jauh daripada dimakan binatang liar.

Prof.Madya Dr. Anisah Abdul Ghani dari Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya berkata, uri adalah sebahagian daripada bayi, dan kerana itu ia perlu dijaga.

“Eloklah dibersihkan dan ditanam tetapi bukan diurus seperti jenazah,” katanya ketika ditemui baru baru ini.

Menyentuh perbuatan meletak bahan bahan seperti asam garam, yg disertakan sebatang jarum atau paku, menurut Dr. Anisah, semua itu hanyalah adat semata mata.

“Dalam Islam tidak ada semua itu. Seelok eloknya basuh saja bersih bersih. Selepas itu balut kemas, tanamlah. Tentang tempatnya tak kira dimana, asalkan sesuai pada fikiran kita dan dapat mengelak daripada diselongkar binatang,” tambah Dr. Anisah.

Di kalangan masyarakat Melayu, uri cukup dijaga. Selain ditanam beserta dengan pelbagai benda, seperti jarum, paku, lebai, adakalanya batik dan sebagainya. Malah sesetengah tempat ia dipasang lilin waktu malam selama tujuh malam.

Menurut mereka lagi, jika ditanam begitu saja, macam macam perkara akan menimpa bayi. Takut dengan musibah musibah yg dikatakan itu, ramai ibu bapa yg terpaksa patuh dengan cara menanam uri.

Semua itu, menurut Dr. Anisah hanyalah adat orang Melayu yg telah diamalkan turun temurun. Mengamalkannya tidak salah kerana ia cuma budaya, asalkan tidak memesongkan keyakinan.

Bagaimanapun menurut beliau, jika petua orang tua itu menjurus ke arah suatu kepercayaan atau keyakinan maka ia tidak boleh diamalkan.

“Masalah akan timbul jika kita benar benar percaya bahawa kita kena tanam uri dengan bahan bahan tertentu supaya anak tidak berkudis, mengelak drpd menangis malam, sawan dan sebagainya. Kedaan itu jelas bertentangan dengan syarak dan boleh membawa kepada khurafat. Misalnya kalau letak jarum atau paku semasa tanam uri dapat mengelakkan drpd gangguan makhluk halus jelas ini salah. Kita dilarang terus drpd percaya yg lain selain ALLAH,” katanya lagi.

Tapi bagaimana pula jika uri berkenaan dibuang saja? Apakah hukumnya?

“Sebenarnya tiada hukum, nas atau hadis yg jelas mengenai cara menguruskan uri, Cuma sesuatu anggota tubuh apabila tidak dikehendaki digalakkan supaya dipelihara dan dijaga dengan baik.

“Jika dibuang saja pun tidaklah menjadi dosa tapi seelok eloknya dibasuh dan ditanam supaya tidak kotor dan berbau busuk yg mungkin akan menimbulkan masalah kepada orang lain pula,” katanya lagi.

Malah menurut Dr.Anisah, perangai anak anak tidak ada hubung kait dengan dimana atau macamana uri diuruskan. Semuanya bergantung pada didikan yg diberikan ibu bapanya.

Nabi pernah berkata, seorang bayi yg baru lahir ibarat sehelai kain putih. Ibu dan bapanyalah yg menentukan sama ada dia menjadi Majusi atau Nasrani.

Malah menurutnya lagi, tidak ada doa doa khusus untuk dibacakan semasa menanam uri bagi menjamin menjadi anak yg soleh atau solehah.

“Cukup sekadar baca Bismillah dan berselawat ke atas Nabi junjungan kita Muhammad. Sebenarnya bagi mendapatkan anak soleh dan solehah, pasangan ibu bapa harus memainkan peranan. Mereka berdua haruslah menjaga kelakuan, makanan dan minuman anak anak serta memastikan halal, bukannya di mana dan bagaimana uri ditanam,” kata Dr. Anisah

Tuesday, October 11, 2011

Kanser Payudara

 Golongan berisiko mendapat kanser payudara ialah:-
  •  Wanita (100 kali ganda lebih tinggi berbanding lelaki)
  •  Sejarah keluarga
  • Sejarah kanser - wanita yang pernah mengidap barah payudara mempunyai risiko berulang 4 kali ganda
  • Sejarah haid dan pembiakan - melahirkan anak merendahkan risiko barah ini terutamanya jika kelahiran anak pertama sebelum usia 30 tahun
  • Pemakanan - pengambilan lemak secara berlebihan
  • Pengambilan hormon (HRT) mempunyai risiko kanser payudara lebih tinggi (setelah 5 tahun mengambil hormon secara berterusan.
Nota: 
Ramai diluar sana tidak menyedari kemudahan yang disediakan oleh pihak LPPKN di dalam pengesanan awal kanser payudara.

Buat pengetahuan semua, wanita berusia 40 tahun dan ke atas  (seawal 35 tahun bagi mereka yang mempunyai risiko) serta memenuhi kriteria kelayakan berhak mendapat subsidi mamogram  sebanyak RM 50.00. 

Terbaru pengangkutan awam disediakan untuk membawa klien yang berada jauh dengan pusat2 mamogram untuk menjalani ujian ini.

Perkembangan semasa, promosi 'Program Subsidi Ujian Mamogram LPPKN' sedang dijalankan di Hospital Pantai hingga 30.11.2011 dengan pemberian baucer bernilai RM20 kepada setiap peserta yang menyertai program ini (stok terhad).

Keterangan lanjut boleh hubungi Klinik2 LPPKN berhampiran @ layari "LPPKN Portal".

Sunday, October 9, 2011

22 sebab Malaikat Rahmat tidak akan memasuki rumah kita

  1. Rumah orang yang memutuskan hubungan Silatulrahim
  2. Rumah orang yang memakan harta anak yatim secara HARAM
  3. Rumah orang yang memelihara anjing
  4. Rumah yang banyak menyimpan gambar mencerca Para Sahabat NAbi, orang yang telah mati dsb 
  5. Rumah yang mengumandangkan nyanyian memuja selain daripada Allah SWT
  6. Rumah yang sering meninggikan suara
  7. Rumah yang didiami mereka yang syirik kepada Allah SWT seperti tukang tilik, ahli nujum
  8. Rumah yang menggunakan perhiasan seperti pinggan dan mangkuk drpd emas 
  9. Rumah yang ambil makanan yang berbau seperti merokok
  10. Rumah yang  didiami mereka yang sentiasa bergelombang dengan maksiat
  11. Rumah yang didiami mereka yang melakukan dosa2 besar 
  12. Rumah yang didiami mereka yang derhaka kepada kedua ibubapa
  13. Rumah pemakan riba 
  14. Rumah yang mengamalkan budaya syaitan 
  15. Rumah yang memiliki patung2
  16. Rumah yang memiliki loceng seperti loceng gereja
  17. Rumah yang didiami peminum arak
  18. Rumah yang mempercayai tukang tilik
  19. Rumah yang didiami mereka yang mendapat laknat Allah SWT, pemakan/pemberi rasuah dan mereka yang mengubah kejadian Allah SWT seperti wanita yang mencukur kening.
  20. Rumah yang didiami mereka yang berhadas besar tanpa mandi Janabah/Junub 
  21. Rumah yang melakukan pembaziran (Berhias dengan berlebihan)
  22. Rumah orang yang melakukan maksiat di dalamnya
Rujukan: akhbaralyom.net 

Friday, October 7, 2011

Bajet 2012

Antara Bajet 2012 ialah:-
  • Kerajaan setuju melanjutkan umur persaraan 58 kepada 60 tahun (xpastilah, mampu ke tak diri ini nak kerja sampai umur 60 tahun nnt, sekarang ni pun stress manjang, huhuhu)
  • Had maksimum harga rumah ditingkatkan daripada RM220 ribu kepada RM 400 ribu (suami isteri) - dibawah Skim Perumahan Pertamaku
  • Subsidi RM20,000 bagi 10,000 rumah Program Perumahan Mesra Rakyat.
  • Pemberian subsidi bil. elektrik RM20/bulan dan kebawah (x mungkinlah buat masa sekarang ni)
  • Peruntukan subsidi makanan asas RM2.3bilion
  • Caruman Majikan dinaikkan sebanyak 13% untuk gaji di bawah RM5,000 untuk sektor swasta
  • 600 ribu Pesara bakal menikmati penyelarasan pencen
  • Skim Amanah Rakyat 1 Malaysia bagi mereka yang berpendapatan di bawah RM3,000
  • Pendidikan sekolah rendah dan menengah disediakan secara percuma - seronoknya!!
  • Peneroka bakal menerima durian runtuh (tunggulah ye...)
  • Membenarkan pendaftaran awal menunaikan haji melalui kaedah penghadangan Akaun 2 pencarum.
  • Bayaran Khas RM3,000 kepada pesara, balu dan duda anggota keselamatan
  • Pemberian suntikan percuma HPV (3 doses) RM150- akan dilaksanakan oleh LPPKN #^&(#$%^&???
  • Pemberian subsidi produk petroleum
  • Membina hospital wanita dan kanak-kanak Kuala Lumpur - kos RM700 juta
  • Bantuan persekolahan RM100 akan diberi kepada semua pelajar sekolah rendah dan menengah (Tahun 1 hingga tingkatan 5)  mulai tahun depan
  • Memperkenalkan Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) bagi menggantikan Sistem Saraan Malaysia dengan menyediakan gaji sebaris dengan pembaharuan lebih radikal. Sistem ini akan menaikkan gaji maksimum diantara RM80 hingga RM300 mengikut gred.- agak2nya berapa dapat ye?
  • Warga emas berusia 60 tahun dan ke atas dikecualikan caj pendaftaran disemua hospital kerajaan dan klinik kesihatan, klinik 1'Malaysia dan Klinik Pergigian - RM1 kan!!!, ok le tu
  • Diskaun 50% tambang monorel dan LRT untuk warga emas
  • Pemberian bantuan RM500 kepada isi rumah yang berpendapatan RM 3,000 dan ke bawah - dengan syarat kena berdaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (keh x dpt, huhuhu!!!!)
  • Baucer buku  RM200 kepada pelajar di institusi awam dan swasta 
  • Bonus setengah bulan gaji kepada penjawat awam, minimum RM500 dan bantuan khas kepada pesara RM500 (akan dibayar bulan Disember 2011 bersama gaji bulanan) - Alhamdulillah... mesti ramai yang dok tunggu2 bab bonus ni, huhuhu

Thursday, September 29, 2011

Sekadar Renungan

Sumber: Email

Di akhirat nanti ada 4 golongan lelaki yg akan ditarik masuk ke neraka oleh wanita. Lelaki itu adalah mereka yg tidak memberikan hak kepada wanita dan tidak menjaga amanah itu. 

Mereka ialah:
  • Ayahnya
 Apabila seseorang yg bergelar ayah tidak mempedulikan anak2 perempuannya didunia, dia tidak memberikan segala keperluan agama seperti mengajar solat,mengaji dan sebagainya, membiarkan anak2 perempuannya tidak menutup aurat. 

Tidak cukup kalau dgn hanya memberi kemewahan dunia sahaja. Maka dia akan ditarik ke neraka oleh anaknya.

 (p/s; Duhai lelaki yg bergelar ayah, bagaimanakah hal keadaan anak perempuanmu sekarang?. adakah kau mengajarnya bersolat dan menutup aurat? memberi pengetahuan agama? Jika tidak cukup salah satunya, maka bersedialah utk menjadi bahan bakar neraka jahanam.)
  •   Suaminya
 Apabila sang suami tidak mempedulikan tindak tanduk isterinya, bergaul!bebas di pejabat, memperhiaskan diri bukan utk suami tapi utk pandangan kaum lelaki yang bukan mahram. 

Apabila suami mendiam diri walaupun seorang yg alim dimana solatnya tidak pernah bertangguh, saumnya tidak tinggal, maka dia akan turut ditarik oleh isterinya bersama-sama ke dalam neraka.

 (p/s; Duhai lelaki yg bergelar suami, bagaimanakah hal keadaan isteri tercintamu sekarang?. Dimanakah dia? Bagaimana akhlaknya? Jika tidak kau menjaganya mengikut ketetapan syari'at, maka terimalah hakikat yg kau akan sehidup semati bersamanya di 'taman' neraka sana .)
  •   Abang-abangnya
 Apabila ayahnya sudah tiada,tanggungjawab menjaga maruah wanita jatuh ke bahu abang-abangnya dan saudara lelakinya. Jikalau mereka hanya mementingkan keluarganya sahaja dan adiknya dibiar melencong dari ajaran Islam,tunggulah tarikan adiknya di akhirat kelak.

 (p/s; Duhai lelaki yg mempunyai adik perempuan, jangan hanya menjaga amalmu dan jgn ingat kau terlepas. kau juga akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak, jika membiarkan adikmu bergelumang dgn maksiat... dan tidak menutup aurat.)
  •   Anak2 lelakinya
 Apabila seorang anak tidak menasihati seorang ibu perihal kelakuan yang haram disisi Islam. bila ibu membuat kemungkaran mengumpat, memfitnah, mengata dan sebagainya, maka anak itu akan disoal dan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak dan nantikan tarikan ibunya ke neraka.

 (p/s; Duhai anak2 lelaki, sayangilah ibumu, nasihatilah dia jika tersalah atau terlupa kerana ibu juga insan biasa, tak akan terlepas dari melakukan dosa, selamatkanlah dia dari menjadi 'kayu api' neraka....jika tidak, kau juga akan ditarik menjadi penemannya.)

Lihatlah.....betapa hebatnya tarikan wanita bukan sahaja di dunia malah diakhirat pun tarikannya begitu hebat. Maka kaum lelaki yg bergelar ayah/suami/abang atau anak harus memainkan peranan mereka.

Firman Allah S.W.T; "Hai anak Adam, peliharalah diri kamu serta ahlimu dari api neraka dimana bahan bakarnya ialah manusia, jin dan batu-batu...."..!!!!

Monday, September 12, 2011

Kekurangan Susu Ibu

Sering mendengar keluhan ibu2 bahawa susu mereka tak banyak untuk menampung keperluan bayi, sebenarnya terdapat beberapa faktor yang boleh menyebabkan ia susut, diantaranya ialah:-

i) Kekurangan Ransangan akibat faktor seperti:-
  • Jika kita tidak menyusukan bayi sekerap yang boleh
  • Ibu2 memulakan pemberian makanan tambahan @ penyusuan botol terlalu awal
  • Ibu cuma menyusukan bayi sebelah payudara sahaja
ii) Jika ibu2 kurang yakin dengan keupayaan diri untuk menyusu
iii) Ibu2 menghadapi tekanan emosi @ stress

Penyelesaian:-
  • Susuilah bayi dengan kerap iaitu sekurang2nya 2 jam sekali
  • Susui bayi dari kedua2 belah payudara

Saturday, September 10, 2011

Sekadar Coretan

Perjuanganku di dalam memberikan khasiat terbaik buat si manja sudah sampai ke kemuncaknya pada 24.08.2011 yang lalu tapi usahaku ini tetap diteruskan sampai bila2. Insya Allah..

Walaupun diri ini bukannya seorang MBfPC aka pembimbing ibu menyusu yang bertauliah tetapi sejajar dengan pengalamanku di dalam penyusuan susu ibu buat si manja dan juga seorang klinikal, rasanya tak salah untukku teruskan niat murni ini untuk membantu mereka yang memerlukan khidmat nasihat dan pandangan biarpun cuma di alam maya.

Buat kalian, jangan segan silu untuk mohon pandangan @ pengalaman, Insya Allah sebarang pertanyaan (tidak semestinya daripada mereka yang mempunyai personal blog sahaja) daripada kalian akan dijawab sejujurnya biarpun ia mungkin mengambil masa yang agak lama, maklumlah diriku tidak sekerap dulu membuka laman ini  ataupun titipkan entri baru.

Friday, August 19, 2011

Sekadar renungan

Untuk tatapan dan renungan semua anak2....semuga ianya tidak berlaku kepada kita ya...........

"Mana Mak?'

Jam 6.30 petang.

Mak berdiri di depan pintu. Wajah Mak kelihatan resah. Mak tunggu adik bungsu balik dari sekolah agama.
Ayah baru balik dari sawah.
Ayah tanya Mak, "Along mana?'
Mak jawab, " Ada di dapur tolong siapkan makan."
Ayah tanya Mak lagi," Angah mana?"
Mak jawab, "Angah mandi, baru balik main bola."
Ayah tanya Mak, "Ateh mana?"
Mak jawab, "Ateh, Kak Cik tengok tv dengan Alang di dalam?"
Ayah tanya lagi, "Adik dah balik?"
 Mak jawab, "Belum. Patutnya dah balik. Basikal adik rosak kot. Kejap lagi kalau tak balik juga jom kita pergi cari Adik."

Mak jawab soalan ayah penuh yakin. Tiap-tiap hari ayah tanya soalan yang sama. Mak jawab penuh perhatian. Mak ambil berat di mana anak-anak Mak dan bagaimana keadaan anak-anak Mak setiap masa dan setiap ketika.

Dua puluh tahun kemudian

Jam 6.30 petang
Ayah balik ke rumah. Baju ayah basah. Hujan turun sejak tengahari.
Ayah tanya Along, "Mana Mak?"  Along sedang membelek-belek baju barunya. Along jawab, "Tak tahu."
Ayah tanya Angah, "Mana Mak?" Angah menonton tv. Angah jawab, "Mana Angah tahu."
Ayah tanya Ateh, "Mana Mak?" Ayah menunggu lama jawapan dari Ateh yang asyik membaca majalah.
Ayah tanya Ateh lagi, "Mana Mak?"
Ateh menjawab, "Entah."  Ateh terus membaca majalah tanpa menoleh kepada Ayah.
Ayah tanya Alang, "Mana Mak?" Alang tidak jawab. Alang hanya mengoncang bahu tanda tidak tahu.
 Ayah tidak mahu tanya Kak Cik dan Adik yang sedang melayan facebook. Ayah tahu yang Ayah tidak akan dapat jawapan yang ayah mahu.

Tidak ada siapa tahu di mana Mak. Tidak ada siapa merasa ingin tahu di mana Mak. Mata dan hati anak-anak Mak tidak pada Mak. Hanya mata dan hati Ayah yang mencari-cari di mana Mak. Tidak ada anak-anak Mak yang tahu setiap kali ayah bertanya, "Mana Mak?"

Tiba-tiba adik bungsu bersuara, "Mak ni dah senja-senja pun merayap lagi. Tak reti nak balik!!"  Tersentap hati Ayah mendengar kata-kata Adik. 

Dulu anak-anak Mak akan berlari mendakap Mak apabila balik dari sekolah. Mereka akan tanya "Mana Mak?" apabila Mak tidak menunggu mereka di depan pintu. Mereka akan tanya, "Mana Mak." Apabila dapat nomor 1 atau kaki melecet main bola di padang sekolah. 

Mak resah apabila anak-anak Mak lambat balik. Mak mahu tahu di mana semua anak-anaknya berada setiap waktu dan setiap ketika. 

Sekarang anak-anak sudah besar,sudah lama anak-anak Mak tidak bertanya 'Mana Mak?"  Semakin anak-anak Mak besar, soalan "Mana Mak?" semakin hilang dari bibir anak-anak Mak .

Ayah berdiri di depan pintu menunggu Mak. Ayah resah menunggu Mak kerana sudah senja sebegini Mak masih belum balik. Ayah risau kerana sejak akhir-akhir ini Mak selalu mengadu sakit lutut. 

Dari jauh kelihatan sosok Mak berjalan memakai payung yang sudah uzur. Besi-besi payung tercacak keluar dari kainnya. Hujan masih belum berhenti. Mak menjinjit dua bungkusan plastik.

Sudah kebiasaan bagi Mak, Mak akan bawa sesuatu untuk anak-anak Mak apabila pulang dari berjalan. Sampai di halaman rumah Mak berhenti di depan deretan kereta anak-anak Mak. Mak buangkan daun-daun yang mengotori kereta anak-anak Mak. 

Mak usap bahagian depan kereta Ateh perlahan-lahan. Mak rasakan seperti mengusap kepala Ateh waktu Ateh kecil. Mak senyum. Kedua bibir Mak diketap repat. Senyum tertahan, hanya Ayah yang faham. 

Sekarang Mak tidak dapat lagi merasa mengusap kepala anak-anak seperti masa anak-anak Mak kecil dulu. Mereka sudah besar. Mak takut anak Mak akan menepis tangan Mak kalau Mak lakukannya.  

Lima buah kereta milik anak-anak Mak berdiri megah. Kereta Ateh paling gah. Mak tidak tahu pun apa kehebatan kereta Ateh itu. Mak cuma suka warnanya. Kereta warna merah bata, warna kesukaan Mak. 

Mak belum merasa naik kereta anak Mak yang ini. Baju mak basah kena hujan. Ayah tutupkan payung mak.

Mak bagi salam. Salam Mak tidak berjawab. Terketar-ketar lutut Mak melangkah anak tangga. Ayah pimpin Mak masuk ke rumah. Lutut Mak sakit lagi. 

Mak letakkan bungkusan di atas meja. Sebungkus rebung dan sebungkus kueh koci pemberian Mak Uda untuk anak-anak Mak.

Mak Uda tahu anak-anak Mak suka makan kueh koci dan Mak malu untuk meminta untuk bawa balik. Namun raut wajah Mak sudah cukup membuat Mak Uda faham. semasa menerima bungkusan kueh koci dari Mak Uda tadi, Mak sempat berkata kepada Mak Uda, "Wah berebutlah budak-budak tu nanti nampak kueh koci kamu ni." Sekurang-kurangnya itulah bayangan Mak.

Mak bayangkan anak-anak Mak sedang gembira menikmati kueh koci sebagimana masa anak-anak Mak kecil dulu. Mereka berebut dan Mak jadi hakim pembuat keputusan muktamad.

Sering kali Mak akan beri bahagian Mak supaya anak-anak Mak puas makan. Bayangan itu sering singgah di kepala Mak. 

Ayah suruh Mak tukar baju yang basah itu. Mak akur. Selepas Mak tukar baju, Ayah iring Mak ke dapur. Mak ajak anak-anak Mak makan kueh koci. Tidak seorang pun yang menoleh kepada Mak. 

Mata dan hati anak-anak ak sudah bukan pada Mak lagi. Mak hanya tunduk, akur dengan keadaan. Ayah tahu Mak sudah tidak boleh mengharapkan anak-anak melompat-lompat gembira dan berlari mendakapnya seperti dulu.

Ayah temankan Mak makan. Mak menyuap nasi perlahan-lahan, masih mengharapkan anak-anak Mak akan makan bersama. Setiap hari Mak berharap begitu. Hanya Ayah yang duduk bersama Mak di meja makan setiap malam. 

Ayah tahu Mak penat sebab berjalan jauh. Siang tadi Mak pergi ke rumah Mak Uda di kampung seberang untuk mencari rebung. Mak hendak masak rebung masak lemak cili api dengan ikan masin kesukaan anak-anak Mak. Ayah tanya Mak kenapa Mak tidak telepon suruh anak-anak jemput. Mak jawab, "Saya dah suruh Uda telepon budak-budak ni tadi. Tapi Uda kata semua tak berangkat." 

Mak minta Mak Uda telepon anak-anak yang Mak tidak boleh berjalan balik sebab hujan. Lutut Mak akan sakit kalau sejuk. Ada sedikit harapan di  hati Mak agar salah seorang anak Mak akan menjemput Mak dengan kereta.

Mak teringin kalau Ateh yang datang menjemput Mak dengan kereta barunya. Tidak ada siapa yang datang jemput Mak. Mak tahu anak-anak mak tidak sedar telepon berbunyi.

Mak ingat kata-kata ayah, "Kita tak usah susahkan anak-anak. Selagi kita mampu kita buat saja sendiri apa-apa pun. Mereka ada kehidupan masing-masing. Tak payah sedih-sedih. Maafkan sajalah anak-anak kita. 

Tak apalah kalau tak merasa menaiki kereta mereka sekarang. Nanti kalau kita mati kita masih ada peluang merasa anak-anak mengangkat kita kat bahu mereka." Mak faham buah hati Mak semua sudah besar. 

Along dan Angah sudah beristeri.Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik masing-masing sudah punya buah hati sendiri yang sudah mengambil tempat Mak di hati anak-anak Mak.

Pada suapan terakhir, setitik air mata Mak jatuh ke pinggan. Kueh koci masih belum diusik oleh anak-anak Mak.

Beberapa tahun kemudian

Mak Uda tanya Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik, "Mana mak?". Hanya Adik yang jawab, "Mak dah tak ada." Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik tidak sempat melihat Mak waktu Mak sakit.

Kini Mak sudah berada di sisi Tuhannya bukan di sisi anak-anak Mak lagi. Dalam isakan tangis, Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik menerpa kubur Mak. Hanya batu nisan yang berdiri terpacak. 

Batu nisan Mak tidak boleh bersuara. Batu nisan tidak ada tangan macam tangan Mak yang selalu memeluk erat anak-anaknya apabila anak-anak datang menerpa Mak semasa anak-anak Mak kecil dulu.

Mak pergi semasa Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik berada jauh di bandar. Kata Along,  ngah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik mereka tidak dengar handphone berbunyi semasa ayah telepon untuk beritahu mak sakit tenat.

Mak faham, mata dan telinga anak-anak Mak adalah untuk orang lain bukan untuk Mak. Hati anak-anak Mak bukan milik Mak lagi. Hanya hati Mak yang tidak pernah diberikan kepada sesiapa, hanya untuk anak-anak Mak..

Mak tidak sempat merasa diangkat di atas bahu anak-anak Mak. Hanya bahu ayah yang sempat mengangkat jenazah Mak dalam hujan renyai. Ayah sedih sebab tiada lagi suara Mak yang akan menjawab soalan Ayah,

"Mana Along?" , "Mana Angah?", "Mana Ateh?", "Mana Alang?", "Mana Kak Cik?" atau "Mana Adik?". Hanya Mak saja yang rajin menjawab soalan ayah itu dan jawapan Mak memang tidak pernah silap. 

Mak sentiasa yakin dengan jawapannya sebab mak ambil tahu di mana anak-anaknya berada pada setiap
waktu dan setiap ketika. Anak-anak Mak sentiasa di hati Mak tetapi hati anak-anak Mak ada orang lain yang mengisinya.

Ayah sedih. Di tepi kubur Mak, Ayah bermonolog sendiri, "Mulai hari ini tidak perlu bertanya lagi kepada Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik , "Mana mak?" " Kereta merah Ateh bergerak perlahan membawa Ayah pulang. Along, Angah, Alang dan Adik mengikut dari belakang. 

Hati ayah hancur teringat hajat Mak untuk naik kereta merah Ateh tidak kesampaian. Ayah terbayang kata-kata Mak malam itu, Cantiknya kereta Ateh, kan Bang? Besok-besok Ateh bawalah kita jalan-jalan kat Kuala Lumpur tu. Saya akan buat kueh koci buat bekal." 

"Ayah, ayah....bangun." Suara Ateh memanggil ayah. Ayah pengsan sewaktu turun dari kereta Ateh.. Terketar-ketar ayah bersuara, "Mana Mak?"

Ayah tidak mampu berhenti menanya soalan itu. Sudah 10 tahun Mak pergi namun soalan "Mana Mak?" masih sering keluar dari mulut Ayah sehingga ke akhir usia.

Sebuah cerita pendek buat tatapan anak-anak yang kadang-kadang lupa persaan ibu. Kata orang hidup seorang ibu waktu muda dilambung resah, apabila tua dilambung rasa. 

Kata Rasulullah saw. ibu 3 kali lebih utama dari ayah. Bayangkanlah berapa kali ibu lebih utama dari isteri, pekerjaan dan anak-anak sebenarnya. Solat sunat pun Allah suruh berhenti apabila ibu memanggil.

Berapa kerapkah kita membiarkan deringan telepon panggilan dari ibu tanpa berjawab? Wallahualam...

Monday, August 8, 2011

Bonus setengah bulan untuk penjawat awam

Sumber: Utusan Malaysia
KUALA LUMPUR 8 Ogos – Kerajaan bersetuju membayar bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada penjawat awam bulan ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan juga bersetuju memberi bayaran khas sebanyak RM500 kepada pesara kerajaan. 
"Bonus dan bayaran khas ini akan dibuat pada pertengahan bulan ini,” kata Najib yang juga Menteri Kewangan dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, bonus itu adalah bagi menghargai sumbangan serta dedikasi penjawat awam dalam memudah dan menjayakan pelaksanaan program pembangunan negara.
Perdana Menteri berkata, kerajaan berharap pemberian bonus dan bayaran khas ini dapat meringankan beban penjawat awam dan para pesara kerajaan dan membantu mereka membuat persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri. – Bernama
Alhamdulillah

Tuesday, July 19, 2011

Risiko Tersedak Susu

Kecuaian ibu bapa, pengasuh tak endah teknik penyusuan botol punca tragedi
TIGA kes berbeza membabitkan mangsa berlainan tetapi berkongsi punca sama - kematian akibat tersedak susu. Kejadian itu sudah pasti membimbangkan ramai ibu bapa, khususnya yang terpaksa bergantung harap kepada perkhidmatan pusat jagaan kanak-kanak.


Ibu bapa mana yang dapat menerima berita buruk apabila permata hati yang baru mengenali dunia, hilang sekelip mata. Lebih dikesali, kematian insan tersayang akibat punca yang sememangnya boleh dielakkan andai semua pihak, khususnya yang menjaga bayi berkenaan, lebih bertanggungjawab menjaga bayi itu.

Namun, perlu diingat, kejadian seumpama itu tidak hanya membabitkan pusat jagaan, sebaliknya boleh berlaku di mana-mana. Apalagi ia membabitkan risiko ketika memberi susu botol kepada si kecil berkenaan.

Persoalannya, bagaimanakah kejadian tersedak susu itu boleh berlaku? 
Pakar Perunding Pediatrik, Pusat Perubatan Darul Ehsan Shah Alam, Dr Varughese Koshy, berkata, tidak dinafikan, bayi sememangnya berisiko untuk tersedak ketika menyusu terutama jika mereka yang berusia di bawah setahun. Malah, katanya, semakin kecil usia mereka, semakin tinggi risiko untuk tersedak ketika menyusu. “Dua fakta yang utama, sistem pertahanan tubuh yang belum matang dan kecuaian ibu bapa atau pengasuh mengenai keselamatan anak-anak menyumbang kepada kejadian tersedak susu ini. 


“Walaupun ia bukan kes yang terlalu kerap dilaporkan tetapi kecuaian boleh menyebabkan ia terjadi. Setiap bayi sememangnya berisiko untuk mengalami masalah ini,” katanya. 

Dr Varughese turut mengingatkan, bayi juga tidak hanya berisiko tersedak susu tetapi juga pelbagai jenis makanan lain. Ini seperti kekacang, ketulan daging atau ikan yang dipotong dalam saiz besar atau disediakan dengan tidak sempurna seperti tidak dihancurkan sebaiknya hingga menyukarkan mereka untuk menelan. 


Katanya, berbanding orang dewasa, sistem pertahanan tubuh bayi juga belum terbentuk dengan sempurna. Dan bagi kes tersedak susu, ia membabitkan pembentukan ‘cough reflex’ yang belum cukup matang. 

‘Cough reflex’ merujuk komponenan sensori dan motor, iaitu sebahagian daripada mekanisme pertahanan badan yang sangat penting. Sistem pertahanan tubuh ini memungkinkan reseptor batuk dalam epithelium di laluan pernafasan sangat sensitif pada stimulasi mekanikal ataupun kimia. 

Stimulasi pada reseptor batuk bertindak mengeluarkan bahan asing daripada sistem pernafasan sebelum ia sampai ke paru-paru. 

“Keadaan itu menyebabkan bayi sukar untuk mengeluarkan bahan asing atau yang tidak dikehendaki, termasuklah cecair seperti susu daripada tekak. 

“Otot mereka masih kecil untuk bertindak sedemikian,” katanya. 

Sehubungan itu, kata Dr Varughese, tiada cara yang lebih berkesan bagi mengelak permasalahan atau risiko itu kecuali ibu bapa atau penjaga bersikap lebih prihatin dalam penjagaan bayi. 

“Jangan sesekali tinggalkan mereka sendirian ketika menyusu. Walaupun anda berada di sebelah bayi itu sekali pun, jangan biarkan mereka menyusu dengan bertindak menjadikan bantal sebagai bahan penyendal atau penahan botol susu. 

“Sebaliknya, cara terbaik adalah memegang botol susu itu. Pada masa sama, pantau sesi penyusuan itu,” tegasnya. 

Dr Varughese berkata, ibu bapa juga perlu prihatin aspek pemilihan puting botol susu yang digunakan. 

Ini kerana, lubang puting yang besar menyebabkan susu mengalir terlalu laju yang memudahkan mereka tersedak. 

Begitu juga ketika memberi mereka makan, ibu bapa atau pengasuh perlu peka untuk melihat keupayaan anak sama ada si kecil itu sudah berupaya mengunyah makanan dengan baik atau sebaliknya. 

“Tidak semua makanan mesti dihancurkan sebelum disuap kepada anak. Sebaliknya, potong makanan dalam saiz kecil yang bersesuaian dengan keupayaan anak untuk mengunyah atau menelan. 

Info: Cara betul/teknik menyusu bayi 

  • Ini bergantung pada cita rasa dan pilihan anda. Anda boleh menyusu sambil duduk, berbaring atau serong sebelah. 
  • Tentukan kedudukan anda betul. Bermakna cara anda duduk atau baring, memegang bayi dan bagaimana bayi menyesuaikan mulutnya apabila menyusu. 
  • Bayi perlu diampu dengan baik. Anda boleh duduk bersandar di atas katil dengan kepala bayi di atas lengan atau duduk bersandar di kerusi. 
  • Jangan bersandar terlalu jauh daripada bayi sehingga susah ia mencapai puting payu dara. Jangan terlalu membongkok sehingga terlalu rapat dengan bayi. 
  • Gunakan sesuatu seperti bantal, kusyen, atau bahan yang lembut tapi kukuh untuk bersandar atau merehatkan kaki agar dapat menyokong anda dan bayi.
Perkara perlu dielak
  • Jangan sekali-kali tinggalkan bayi sendirian ketika menyusu. 
  • Jangan jadikan bantal atau kusyen sebagai penahan atau penyendal botol susu yang diberi kepada si kecil, sebaliknya pegang botol susu itu. 
  • Pantau sesi penyusuan itu bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini. 
  • Jangan pandang remeh pembelian puting susu. Sebaliknya, peka kepada aspek lubang puting itu kerana lubang besar juga berisiko menyebabkan bayi tersedak susu.
Sumber: Bharian




Sunday, July 17, 2011

Derita Barah Payudara

Hiba dan sedih apabila membaca kisah benar mengenai seorang isteri, ibu dan pengidap barah payudara, moga ia menjadi pedoman buat kita semua.

Sumber: HMetro
KETIKA ramai wanita sibuk menjaga penampilan diri, berdiet menjaga susuk badan mahupun bergaya dengan fesyen terkini, mungkin ramai terlupa penjagaan kesihatan yang lebih penting daripada kecantikan luaran.
Begitu yang dialami pesakit kanser payu dara tahap tiga, Haidatul Azila Johar, 41. Yang menjadi keutamaan dalam hidupnya sekarang ialah sihat semula selepas disahkan menghidap kanser payudara tiga tahun lalu.
Berulang-alik ke hospital bagi mendapatkan rawatan sama ada kemoterapi mahupun radioterapi, semuanya dilalui. Namun Haidatul tidak kisah menghadapinya kerana semua kesukaran itu perlu dilalui bagi memastikan dia sihat serta dapat bersama suami dan anak. 


Paling penting lima cahaya matanya berusia antara 15 tahun hingga dua tahun setengah itu masih memerlukan kasih sayang dan bimbingan insan bergelar ibu.


“Saya bersyukur, sepanjang rawatan di hospital, ahli keluarga, terutama suami dan ibu, banyak membantu dan memberi semangat untuk saya menghadapi detik sukar itu. Malah, kasih sayang dan keprihatinan suami menyebabkan saya terharu dan pernah mencadangkan dia berkahwin lain,” katanya berterus terang.
Bagaimanapun, cadangan itu ditolak suaminya kerana tidak pernah terfikir ke arah itu. 


Haidatul juga terhutang budi dengan pertolongan kawan dan jiran yang membantu menguruskan anaknya ke sekolah sewaktu suami menemaninya di hospital. Mereka menolong menyediakan makanan untuk anak Haidatul yang ketika itu masih terlalu mentah untuk berdikari. 


Haidatul berkata, dalam keadaan itu, perhatian ahli keluarga dan kawan bagai menyuntik semangat untuk dia tabah menghadapi kesakitan dan ujian Allah. 


Menceritakan bagaimana mengetahui dia menghidap penyakit pembunuh pertama wanita di negara ini, Haidatul berkata, semuanya bermula ketika dia disahkan hamil anak kelima pada 2008. Dalam ujian kehamilan itu, doktor mengesahkan dia menghidap kanser payu dara. 


“Pada mulanya saya ingatkan hanya ketulan kecil dan tiada apa yang membahayakan tetapi sebaik doktor wanita yang merawat itu memegang tangan, apa yang saya takutkan selama ini menjadi kenyataan. Air mata terus mengalir sebaik mendengar penjelasan doktor,” katanya. 

Haidatul berkata, antara alasan dia menangguhkan berjumpa doktor kerana malu mendapatkan rawatan kerana kebanyakan doktor adalah lelaki. Bagaimanapun, dia bersyukur kerana selepas beberapa kali ujian kanser dilakukan, dia diperiksa doktor wanita iaitu Dr Hartinie Mohamad. 


“Ketika itu rasanya hidup tiada makna, terasa dunia begitu kecil dan bakal berakhir. Namun Dr Hartinie menceritakan, kelebihan perubatan moden memungkinkan penyakit itu dirawat jika menerima rawatan segera. 

“Dr Hartinie juga berpesan supaya tidak berubat kampung atau mencari perubatan alternatif lain seperti kebanyakan wanita senasib saya kerana akibatnya kesihatan bertambah teruk,” katanya. 

Guru Pendidikan Khas itu berkata, Dr Hartinie memberitahunya jika kandungan berusia bawah tiga bulan, dia dinasihatkan menggugurkannya bagi memberi laluan kepada rawatan kemoterapi untuk membunuh sel kanser. Mendengarnya, Haidatul berdoa semoga kandungannya dapat diselamatkan dan tidak perlu dibuang. Sebaik imbasan dilakukan, usia kandungannya didapati mencecah empat bulan. 
Dia lega kerana ini memberi petanda positif untuknya meneruskan kandungan. Berlinangan air mata Haidatul apabila doktor memberitahu, bayi dalam kandungannya ketika itu bagai melambai-lambai tangan kepadanya. 

Untuk membuat keputusan bukan mudah. Puas beberapa orang yang rapat dengannya memberi pendapat termasuk supaya berubat kampung, menggunakan perubatan alternatif, tidak kurang juga mencadangkan mengambil produk makanan kesihatan. Namun nasihat dan keizinan suami menguatkan semangat Haidatul untuk membuat pilihan sukar iaitu membuang sebelah payu daranya. 

Pelbagai perasaan menerjah fikiran Haidatul ketika mengambil keputusan menjalani pembedahan membuang sebelah payu dara atau mastektomi. Perasaan rendah diri, sedih, pilu, semuanya bersatu. 

Bagi meredakan tekanan, Haidatul memperbanyak berdoa dan melakukan solat sunat supaya Tuhan memberinya kekuatan untuk menghadapi dugaan itu. Selain itu, dia berkongsi masalah dengan rakan. 

Atas nasihat doktor yang mengatakan sel kanser mudah merebak ketika mengandung, Haidatul menjalani pembedahan mastektomi dua minggu kemudian. Dia pasrah kerana faham ada hikmah tersembunyi walaupun sayu apabila memikirkan kekurangan untuk menyusu bayi yang bakal lahir. 

Namun dia memanjatkan kesyukuran apabila pembedahan berjalan lancar dan tiada masalah besar. Ketika kandungan mencecah tujuh bulan, doktor memberitahu Haidatul perlu segera melahirkan bayi kerana hanya selepas itu kemoterapi terhadap kanser dapat dilakukan. 

Dia melahirkan anak ketika bayi itu baru mencecah 32 minggu dan seberat 1.5 kilogram. 

“Saya selamat melahirkan bayi perempuan yang comel dan paling saya terharu, bayi itu sihat dan normal,” katanya yang bersyukur suami dan ibunya banyak membantu menjaga si kecil sepanjang dia dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu. 

Menurut Haidatul, bayinya terpaksa dimasukkan ke wad Newborn ICU (NICU) kerana lahir tidak cukup bulan. Perasaan sayu melihat bayinya terlantar dipenuhi wayar dalam inkubator sekali lagi mengundang air mata Haidatul. 

Tidak sanggup rasanya melihat bayi sekecil itu menghadapi suasana memilukan seperti itu. Namun, demi kebaikan si kecil, dia terpaksa merelakan. Selepas 26 hari dalam NICU, berat badan bayi bertambah mencatat angka normal dan si cilik dibenarkan keluar dari wad. 

Sebaik bayinya keluar hospital, Haidatul hanya sempat menyusukan bayinya seminggu sebelum membuat kemoterapi. 

Selepas tiga minggu melahirkan anak dan luka jahitan bersalin kering, dia dinasihatkan menjalani kemoterapi kali pertama. Sehingga kini, Haidatul membuat kemoterapi dan radioterapi selain mamogram seperti disaran doktor. 

Selain itu, dari semasa ke semasa, dia membuat ujian tulang setahun sekali. Menurutnya, ujian itu penting bagi memastikan virus kanser tidak merebak ke tulang. 

Justeru, dia kini menjalani kehidupan sihat dengan mengubah gaya pemakanan. Dia mengikut nasihat doktor supaya mengambil pemakanan seimbang dan rajin bersenam. 

Jika sebelum ini dia gemar menikmati makanan laut terutama tomyam, kini dia mengutamakan sayur-sayuran dan buah-buahan dalam menu harian. 

Selain berpuasa, Haidatul semakin ringan kaki berjoging di taman rekreasi berhampiran rumahnya. Pesanan Haidatul kepada pembaca supaya mengutamakan kesihatan dan segera mendapatkan rawatan doktor jika anda mempunyai sakit kanser payu dara. 

KANSER payudara ialah kanser tisu payudara atau buah dada. Ia kanser kedua mengakibatkan kematian tertinggi bagi wanita. Kajian Kementerian Kesihatan menunjukkan kira-kira 94 peratus kes dirawat di hospital kerajaan adalah di tahap paling kritikal dan sukar dipulihkan dan kemungkinan membawa maut. 

Gejala yang mungkin menjadi petanda kanser payudara: 
* Bengkak atau ketulan pada payudara. 
* Perubahan pada kulit payudara, kulit kelihatan berbintik dada atau kemerahan dan keras. 
* Keluar darah atau cairan berdarah dari puting susu. 
* Puting susu tenggelam ke dalam payudara. 
* Saluran darah menonjol di permukaan kulit payudara. 
* Luka yang tidak sembuh pada permukaan payudara. 
* Terasa biji atau ketulan di bahagian ketiak. 
* Hilang selera makan dan turun berat badan. 
* Tanda kanser merebak ke organ lain badan seperti ke paru-paru menyebabkan sukar bernafas dan batuk berdarah, sakit tulang atau sakit kepala. 

Golongan berisiko tinggi mendapat kanser payudara? 
1. Wanita mempunyai risiko 100 kali ganda lebih tinggi berbanding lelaki. Risiko ini menjadi lebih tinggi pada era sebelum putus haid. Orang lelaki juga boleh mendapat penyakit kanser payudara. 
2. Sejarah keluarga - Risiko kanser payudara bagi seseorang wanita berganda dua tiga kali jika ada saudara terdekat seperti ibu, kakak, adik atau emak saudara menghidap penyakit itu. 

3. Sejarah kanser - apabila seorang wanita menghidap kanser payudara, risiko untuknya berulang lagi meninggi empat kali ganda. Ada kajian menyatakan, ketulan atau penyakit payudara yang bukan jenis kanser juga boleh meninggikan risiko untuk kanser payudara. 

Kajian juga menunjukkan, risiko untuk kanser payu dara juga meninggi jika ada sejarah kanser ovari, melanomas (kanser kulit), usus dan rahim. 

4. Sejarah haid dan pembiakan - wanita yang mempunyai masa lama dalam era reproduktif mempunyai risiko lebih tinggi untuk kanser payudara. Ini bermakna wanita itu didatangi haid pertama pada umur awal (sembilan tahun) dan mencapai putus haid pada umur lewat (55 tahun ke atas). Melahirkan anak merendahkan risiko kanser ini, terutama jika kelahiran anak pertama berlaku sebelum ibu mencapai umur 30 tahun. 

5. Pemakanan - pengambilan lemak secara berlebihan meninggikan risiko kanser ini. Oleh itu wanita digalakkan mengambil banyak sayur-sayuran dan mengurangkan kadar pengambilan lemak dalam makanan. 

6. Pengambilan hormon - kajian menunjukkan wanita putus haid dan mengguna hormon gantian (HRT - ormone replacement therapy) didapati mempunyai risiko kanser payu dara lebih tinggi. Risiko ini meninggi hanya selepas lima tahun penggunaan hormon secara berterusan. 

7. Obesiti - wanita yang mempunyai berat badan berlebihan juga mempunyai risiko lebih tinggi untuk kanser ini.
Nota: Beberapa hari lepas menerima panggilan dari 'Pegawai' ATM bertanyakan mengenai subsidi mamogram untuk disebarkan kepada anggota dan keluarga memandangkan beliau baru kehilangan adiknya ketika usia masih muda - 37 tahun akibat penyakit ini, bersyukur kerana ia membuka minda kaum lelaki mengenai penyakit merbahaya ini.

Monday, June 27, 2011

Barah Payudara ancam lelaki

PERUBAHAN pada saiz dan bentuk payu dara antara gejala barah.

Ho'oooo, jangan ingat 'kanser payudara' cuma menyerang kaum wanita sahaja, orang lelaki juga TIDAK terkecuali.


Amalan pemakanan, faktor genetik, pengambilan hormon wanita jadi punca 

BARAH payu dara sebenarnya bukan hanya penyakit wanita walaupun fakta saintifik menjelaskan ia 100 kali lebih kerap ditemui di kalangan wanita. Lelaki juga berisiko diserang barah payu dara apatah lagi jika mereka lahir dalam keluarga yang memiliki sejarah penyakit barah - apa sahaja jenis barah.
Statistik Daftar Kanser Kebangsaan merekodkan 56 kes baru kanser payudara lelaki pada 2002 dan 24 kes baru pada 2003.

Pada 2002, kanser payu dara dikesan di kalangan 26 lelaki Melayu, 22 lelaki Cina dan lima lelaki India dengan sekitar 71 peratus daripada mereka yang didiagnosis adalah berumur 50 tahun atau lebih. Daripada 24 kes baru yang dilaporkan pada 2003 pula, 11 pesakit membabitkan kaum Cina dan selebihnya berbangsa Melayu. 

Penyelaras Pusat Sumber Kanser Payu dara, Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian, Kelantan Dr Nik Munirah Nik Mahdi berkata, walaupun faktor genetik dikaitkan sebagai punca utama barah payu dara di kalangan lelaki namun, tiga pesakit barah payu dara yang mendapatkan rawatan di HUSM tahun lalu tidak langsung memiliki sejarah keluarga yang menghidap barah. 
“Ia menjelaskan barah payu dara boleh menyerang semua orang. Tidak kira lelaki itu lelaki tulen atau lelaki yang mengambil hormon wanita, ”katanya. Sebelum ini, penyelidik percaya selain genetik faktor risiko lelaki yang menghidap barah payu dara kerap juga dikaitkan dengan tahap hormon estrogen yang tinggi seperti yang ditemui di kalangan pesakit sirosis atau sindrom Klinefelter. 
“Amalan pemakanan juga mungkin antara penyebab. Sekarang ini terlalu banyak makanan segera di pasaran. Begitu juga kesegaran sayur-sayuran, ayam, daging atau ikan yang dijual banyak bergantung pada bahan kimia. Kita pun tidak pasti apakah penggunaan bahan kimia begini boleh menjejaskan kesihatan atau tidak,” katanya. 
Jelas Dr Munirah, jika di negara Barat majoriti kes kanser payu dara lelaki membabitkan mereka yang berusia dalam lingkungan usia 50 atau 60 tahun, namun di Malaysia kebanyakan mereka yang dikesan dengan barah payu dara berusia 40 tahun ke atas. Malah, kajian mendapati kanser payu dara yang menyerang golongan lelaki adalah lebih agresif berbanding sel kanser yang menyerang golongan wanita.
Lebih memburukkan keadaan jika pesakit datang mendapatkan rawatan ketika penyakit sudah berada di tahap empat. “Daripada pengalaman saya mengendalikan kes payu dara lelaki, kebanyakan pesakit datang mendapatkan rawatan pada peringkat awal. Umumnya mereka gelisah apabila melihat perubahan saiz payu dara yang besar sebelah, kelihatan bengkak selain menyedari kewujudan benjolan di belakang puting,” katanya. 
Bagi negeri Kelantan saja, Majlis Kanser Nasional merekodkan dari 1999 hingga 2006, enam lelaki meninggal dunia akibat penyakit itu. Bahkan kebanyakan kanser payudara yang menyerang lelaki kesannya jauh lebih buruk kerana kanser terbabit akan menular kepada organ lain dengan cepat hingga membawa kematian. 
Keadaan ini disebabkan payu dara mereka bersaiz kecil, kurang tisu dan lebih dekat dengan dada berbanding payu dara wanita. Walaupun berlaku peningkatan kes, namun secara umumnya barah payu dara lelaki masih lagi dianggap sedikit iaitu satu peratus daripada jumlah keseluruhan kes barah payu dara.
Di Amerika Syarikat misalnya, Persatuan Barah Amerika menganggarkan pada 2008, 1,990 kes baru dikesan. Daripada jumlah itu, 480 kematian dilaporkan setiap tahun berbanding 40,000 kematian membabitkan kes barah payu dara wanita. 
Jelas Dr Munirah, rawatan barah payu dara lelaki dan perempuan tidak berbeza. Sebaliknya ia bergantung pada tahap kesihatan, tahap barah yang dialami dan pilihan pesakit itu sendiri. Secara umumnya, barah ditangani dengan pembedahan, kemoterapi dan radioterapi.
INFO Faktor Risiko Barah Payu dara Lelaki 

  • Pendedahan pada radiasi 


  • Tahap hormon estrogen yang tinggi 


  • Sindrom Klinefelter 


  • Sejarah keluarga yang menghidap apa sahaja jenis barah 


  • Obesiti 


  • Usia meningkat 


  • Masalah hati (misalnya sirosis) 


  • Peminum arak tegar 

    Gejala 


  • Benjolan (yang tidak sakit) pada tisu payu dara 


  • Perubahan saiz payu dara atau kulit payu dara misalnya berkedut, tertarik ke dalam atau kemerah-merahan 


  • Perubahan pada puting payu dara misalnya tertarik ke dalam atau kemerahan 


  • Lelehan keluar daripada puting 

  • Sunday, June 19, 2011

    Ketakutan itu membunuh

    Sumber : Utusan Online
    BAGAIMANA perasaan anda andai suatu hari diberitahu doktor bahawa penyakit yang paling ditakuti sudah bersarang dalam tubuh? Gementar, cemas, takut dan pastinya soalan ini yang terbit dari bibir, "Mengapa saya?"
    Soal sebanyak mana sekali pun, anda pasti tidak akan menemui jawapannya. Begitu yang dialami Lena Abdullah, saat disahkan bahawa ketulan kecil yang terdapat di bahagian pahanya adalah sel kanser yang sedang agresif.
    Rasa takut dan putus asa menguasai diri. Berhari-hari beliau menangis dan memikirkan kenapa keadaan itu berlaku kepada dirinya.
    "Saya tidak merokok, sentiasa bersenam dan menjaga pemakanan. Malah saya juga tidak ada sejarah keluarga yang menghidap kanser, namun kenapa ia berlaku?," katanya memulakan bicara.
    Namun, ibu kepada empat cahaya mata itu tidak mahu mengalah dan terus bersedih. Berbekalkan sokongan keluarga terutama bila memikirkan anak-anak yang sedang meningkat remaja, dia mengumpul sisa kekuatan untuk bangkit melawan penyakit tersebut.
    Melalui Internet dan buku, dia memperoleh sebanyak mungkin maklumat yang berkaitan. Tanpa menunggu lebih lama, Lena terus menjalani pembedahan membuang ketumbuhan.
    Tidak mempedulikan kata-kata 'nakal' seperti kemoterapi menyakitkan, wanita berasal dari Pulau Pinang itu tabah melalui setiap satu rawatan yang diwajibkan untuknya.
    "Alhamdulillah, walaupun menderita kanser, namun saya bersyukur kerana sepanjang melalui detik itu saya tidak pernah rasa sakit yang teramat sehingga selesai rawatan kemoterapi terakhir sekitar Julai 2009," katanya.
    Walaupun terdapat kesan sampingan seperti keguguran rambut dan kening ketika itu, namun itu semua tidak mematahkan semangatnya untuk terus berjuang melawan penyakit itu. Lena menjalani kehidupan seperti biasa. Katanya dia ke pasar dengan memakai rambut palsu dan selendang.
    "Sebenarnya kesan daripada rawatan itu berbeza setiap individu. Ada yang mengalami reaksi teruk ada yang sederhana. Tapi yang penting kita kena bersedia," katanya yang banyak mengamalkan pemakanan sup, buah-buahan dan sayur-sayuran sepanjang rawatan tersebut.
    Melalui seorang teman, Lena mengetahui kewujudan Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia (NCSM) dan berminat untuk terlibat dengannya. Sejak dua tahun lalu dia aktif terlibat dengan kerja-kerja kebajikan yang dianjurkan pertubuhan itu.
    Selepas melalui detik-detik yang sukar, wanita yang sentiasa ceria itu percaya dirinya kini semakin tenang menjalani hidup. Bersama rakan-rakan di NCSM, dia berkongsi pengalaman demi meningkatkan kesedaran pesakit dan juga masyarakat bagi melawan penyakit gerun tersebut.
    "Ramai yang tidak tahu apa yang perlu dilakukan bila mengetahui diri menderita kanser. Mereka bersedih dan menyerah kepada takdir semata-mata tanpa mahu berusaha. Bagi saya, kanser itu tidak membunuh, tapi ketakutan yang membunuh kita sebenarnya," katanya penuh yakin.
    Lena menganggap kanser adalah rahmat yang diberi Tuhan hanya kepada insan terpilih sahaja. Penyakit itu katanya, mengajar tentang banyak perkara mengenai kehidupan yang hanya seketika cuma.
    Relay for Life
    Sementara itu, Penasihat Kehormat NCSM, Datuk Zuraidah Atan berkata, pihaknya menganjurkan satu acara perhimpunan kesedaran mengenai kanser yang dinamakan Relay For Life (RFL).
    "Ia telah diadakan di Melaka awal bulan Jun lalu. Selepas ini ia bakal dianjurkan pada 16 dan 17 Julai di Stadium UKM, Bangi pula," katanya.
    RFL kata beliau merupakan acara antarabangsa yang diperkenalkan oleh Persatuan Kanser Amerika dan telah dianjurkan oleh 22 buah negara. Menurutnya, program selama 16 jam tanpa henti (bermula malam hingga ke pagi) itu merangkumi aktiviti perarakan di atas stadium yang melambangkan usaha berterusan melawan kanser.
    "Selepas itu terdapat acara yang dipanggil luminaria bagi mengingati mangsa yang telah meninggal dunia akibat penyakit tersebut manakala keesokan harinya diadakan acara bersenam dan pelbagai aktiviti yang memberi manfaat," katanya.
    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
     
    COPYRIGHT AND TEMPLATE DESIGN ALL RIGHT RESERVED BY CIK ROSE CUTE wink