Sumber: Berita Harian
Barah payudara yang parah atau metastatik adalah peringkat di mana sel-sel barah terpisah dari ketumbuhan utama payudara dan merebak ke bahagian lain badan melalui saluran darah atau sistem limpatik.
Berbanding dengan negara barat di mana lebih kurang enam peratus dari barah payudara adalah pada peringkat metastatik selepas pemeriksaan, sebaliknya wanita Malaysia disahkan mengenai barah payudara pada peringkat yang amat lambat.
Bertahun-tahun lamanya, hospital seperti Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan Hospital Kuala Lumpur (HKL) mencatatkan antara 30 hingga 40 peratus barah payudara di peringkat yang parah.
Ada beberapa jenis dan yang paling lazim berlaku ialah Karsinoma duktus. Ini adalah barah payudara yang paling kerap berlaku dan bermula dalam tisu pengalas duktus.
Karsinoma lobul pula adalah barah yang timbul dari lobul manakala barah payudara metastatik adalah barah payudara yang merebak di luar payudara.
Sel-sel barah ini sering ditemui dalam nodus limfa di bawah lengan (nodus limfa aksil.) Apabila barah sampai ke nodus ini, bermakna sel-sel barah sudah merebak ke bahagian badan yang lain seperti, tulang, hati atau paru-paru.
Mengikut kajian, jangka hayat seorang wanita yang menghidap barah payudara peringkat parah adalah lebih kurang dua hingga empat tahun saja.
Bagaimanapun, dengan wujudnya pelbagai pilihan rawatan untuk penyakit pada peringkat metastatik, 21 peratus daripada jumlah pesakit mampu mencecah jangka hayat sehingga lima tahun.
Di dunia, barah payudara adalah barah yang paling kerap dikalangan wanita yang menyebabkan lebih satu juta kes baru setiap tahun dan adalah penyebab utama kematian wanita yang berkaitan dengan barah.
Di Malaysia barah payudara adalah barah yang paling lazim pada keseluruhannya dan yang paling biasa di kalangan wanita tanpa mengira batas kaum dari usia 20 tahun mengikut kajian pada 2003 hingga 2005.
Presiden Persatuan Kebajikan Barah Payudara (BCWA), Ranjit Kaur menjelaskan kebanyakan pesakit yang disahkan menghidap barah payudara peringkat parah atau metastatik akan terus menyerah kalah.
“Keadaan ini sangat lazim kerana kebanyakan wanita yang ditimpa penyakit ini sedang berada di puncak kerjaya, sibuk menguruskan anak-anak dan keluarga juga suami. Ia seolah hukuman mati buat mereka.
Bayangkan saja kesan dan bebanan emosi yang perlu ditanggung. Hakikat yang perlu mereka telan tidak terbayang dan tertanggung oleh sesiapapun.
Apa yang terlihat hanyalah hari-hari kelam yang menuju kegelapan, akhirnya lebih rela membiarkan diri dimamah kesakitan fizikal yang amat sangat.
“Benar barah payudara peringkat parah atau metastatik tidak boleh dipulihkan, begitupun pelbagai pilihan rawatan kini membolehkan pesakit menguruskan dan mengawal penyakit itu dan ini memberikan mereka peluang untuk menjalani hidup yang lebih berkualiti dan sekali gus memanjangkan jangka hayat,” katanya ketika pelancaran kempen Pink Purse dan Be A Pink Angel anjuran BCWA bersama GlaxoSmithKline Pharmaceutical (GSK) di J Co Donuts & Coffee Sunway Pyramid baru-baru ini.
Lihat saja anggota BCWA yang datang dari pelbagai latar belakang agama, budaya, sosial dan peringkat usia. Barah payudara boleh dihidapi oleh sesiapa saja tidak kira lelaki mahupun wanita.
Biar sejuta kempen kesedaran pun jika kekuatan dan mandiri itu tidak datang dari diri anda sendiri, segala usaha akan sia-sia.
Lakukanlah pemeriksaan awal dan rutin, belajar cara pemeriksaan sendiri di rumah, sekurang-kurangnya anda masih punya peluang untuk menguruskan dan mengawalnya dengan baik.
“Teruskanlah kehidupan demi masyarakat, teruskan hidup demi keluarga dan teruskan hidup demi anda. Golongan berisiko mendapat barah payu dara
Risiko wanita adalah 100 kali ganda lebih tinggi berbanding lelaki.
Sejarah keluarga
Sejarah barah - wanita yang pernah menghidap barah payu dara punya risiko berulang empat kali ganda.
Sejarah haid dan pembiakan - Melahirkan anak merendahkan risiko barah ini terutamanya jika kelahiran anak yang pertama berlaku sebelum ibu mencapai umur 30 tahun.
Pemakanan - pengambilan lemak secara berlebihan
Pengambilan hormon - wanita yang sudah putus haid dan mengguna hormon gantian (HRT- hormone replacement therapy) didapati mempunyai risiko barah payu dara yang lebih tinggi. Risiko ini meninggi hanya setelah lima tahun penggunaan hormon secara berterusan.
0 komen yang kalian berikan, tqsm..:
Post a Comment