Followers

Monday, June 27, 2011

Barah Payudara ancam lelaki

PERUBAHAN pada saiz dan bentuk payu dara antara gejala barah.

Ho'oooo, jangan ingat 'kanser payudara' cuma menyerang kaum wanita sahaja, orang lelaki juga TIDAK terkecuali.


Amalan pemakanan, faktor genetik, pengambilan hormon wanita jadi punca 

BARAH payu dara sebenarnya bukan hanya penyakit wanita walaupun fakta saintifik menjelaskan ia 100 kali lebih kerap ditemui di kalangan wanita. Lelaki juga berisiko diserang barah payu dara apatah lagi jika mereka lahir dalam keluarga yang memiliki sejarah penyakit barah - apa sahaja jenis barah.
Statistik Daftar Kanser Kebangsaan merekodkan 56 kes baru kanser payudara lelaki pada 2002 dan 24 kes baru pada 2003.

Pada 2002, kanser payu dara dikesan di kalangan 26 lelaki Melayu, 22 lelaki Cina dan lima lelaki India dengan sekitar 71 peratus daripada mereka yang didiagnosis adalah berumur 50 tahun atau lebih. Daripada 24 kes baru yang dilaporkan pada 2003 pula, 11 pesakit membabitkan kaum Cina dan selebihnya berbangsa Melayu. 

Penyelaras Pusat Sumber Kanser Payu dara, Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian, Kelantan Dr Nik Munirah Nik Mahdi berkata, walaupun faktor genetik dikaitkan sebagai punca utama barah payu dara di kalangan lelaki namun, tiga pesakit barah payu dara yang mendapatkan rawatan di HUSM tahun lalu tidak langsung memiliki sejarah keluarga yang menghidap barah. 
“Ia menjelaskan barah payu dara boleh menyerang semua orang. Tidak kira lelaki itu lelaki tulen atau lelaki yang mengambil hormon wanita, ”katanya. Sebelum ini, penyelidik percaya selain genetik faktor risiko lelaki yang menghidap barah payu dara kerap juga dikaitkan dengan tahap hormon estrogen yang tinggi seperti yang ditemui di kalangan pesakit sirosis atau sindrom Klinefelter. 
“Amalan pemakanan juga mungkin antara penyebab. Sekarang ini terlalu banyak makanan segera di pasaran. Begitu juga kesegaran sayur-sayuran, ayam, daging atau ikan yang dijual banyak bergantung pada bahan kimia. Kita pun tidak pasti apakah penggunaan bahan kimia begini boleh menjejaskan kesihatan atau tidak,” katanya. 
Jelas Dr Munirah, jika di negara Barat majoriti kes kanser payu dara lelaki membabitkan mereka yang berusia dalam lingkungan usia 50 atau 60 tahun, namun di Malaysia kebanyakan mereka yang dikesan dengan barah payu dara berusia 40 tahun ke atas. Malah, kajian mendapati kanser payu dara yang menyerang golongan lelaki adalah lebih agresif berbanding sel kanser yang menyerang golongan wanita.
Lebih memburukkan keadaan jika pesakit datang mendapatkan rawatan ketika penyakit sudah berada di tahap empat. “Daripada pengalaman saya mengendalikan kes payu dara lelaki, kebanyakan pesakit datang mendapatkan rawatan pada peringkat awal. Umumnya mereka gelisah apabila melihat perubahan saiz payu dara yang besar sebelah, kelihatan bengkak selain menyedari kewujudan benjolan di belakang puting,” katanya. 
Bagi negeri Kelantan saja, Majlis Kanser Nasional merekodkan dari 1999 hingga 2006, enam lelaki meninggal dunia akibat penyakit itu. Bahkan kebanyakan kanser payudara yang menyerang lelaki kesannya jauh lebih buruk kerana kanser terbabit akan menular kepada organ lain dengan cepat hingga membawa kematian. 
Keadaan ini disebabkan payu dara mereka bersaiz kecil, kurang tisu dan lebih dekat dengan dada berbanding payu dara wanita. Walaupun berlaku peningkatan kes, namun secara umumnya barah payu dara lelaki masih lagi dianggap sedikit iaitu satu peratus daripada jumlah keseluruhan kes barah payu dara.
Di Amerika Syarikat misalnya, Persatuan Barah Amerika menganggarkan pada 2008, 1,990 kes baru dikesan. Daripada jumlah itu, 480 kematian dilaporkan setiap tahun berbanding 40,000 kematian membabitkan kes barah payu dara wanita. 
Jelas Dr Munirah, rawatan barah payu dara lelaki dan perempuan tidak berbeza. Sebaliknya ia bergantung pada tahap kesihatan, tahap barah yang dialami dan pilihan pesakit itu sendiri. Secara umumnya, barah ditangani dengan pembedahan, kemoterapi dan radioterapi.
INFO Faktor Risiko Barah Payu dara Lelaki 

  • Pendedahan pada radiasi 


  • Tahap hormon estrogen yang tinggi 


  • Sindrom Klinefelter 


  • Sejarah keluarga yang menghidap apa sahaja jenis barah 


  • Obesiti 


  • Usia meningkat 


  • Masalah hati (misalnya sirosis) 


  • Peminum arak tegar 

    Gejala 


  • Benjolan (yang tidak sakit) pada tisu payu dara 


  • Perubahan saiz payu dara atau kulit payu dara misalnya berkedut, tertarik ke dalam atau kemerah-merahan 


  • Perubahan pada puting payu dara misalnya tertarik ke dalam atau kemerahan 


  • Lelehan keluar daripada puting 

  • Sunday, June 19, 2011

    Ketakutan itu membunuh

    Sumber : Utusan Online
    BAGAIMANA perasaan anda andai suatu hari diberitahu doktor bahawa penyakit yang paling ditakuti sudah bersarang dalam tubuh? Gementar, cemas, takut dan pastinya soalan ini yang terbit dari bibir, "Mengapa saya?"
    Soal sebanyak mana sekali pun, anda pasti tidak akan menemui jawapannya. Begitu yang dialami Lena Abdullah, saat disahkan bahawa ketulan kecil yang terdapat di bahagian pahanya adalah sel kanser yang sedang agresif.
    Rasa takut dan putus asa menguasai diri. Berhari-hari beliau menangis dan memikirkan kenapa keadaan itu berlaku kepada dirinya.
    "Saya tidak merokok, sentiasa bersenam dan menjaga pemakanan. Malah saya juga tidak ada sejarah keluarga yang menghidap kanser, namun kenapa ia berlaku?," katanya memulakan bicara.
    Namun, ibu kepada empat cahaya mata itu tidak mahu mengalah dan terus bersedih. Berbekalkan sokongan keluarga terutama bila memikirkan anak-anak yang sedang meningkat remaja, dia mengumpul sisa kekuatan untuk bangkit melawan penyakit tersebut.
    Melalui Internet dan buku, dia memperoleh sebanyak mungkin maklumat yang berkaitan. Tanpa menunggu lebih lama, Lena terus menjalani pembedahan membuang ketumbuhan.
    Tidak mempedulikan kata-kata 'nakal' seperti kemoterapi menyakitkan, wanita berasal dari Pulau Pinang itu tabah melalui setiap satu rawatan yang diwajibkan untuknya.
    "Alhamdulillah, walaupun menderita kanser, namun saya bersyukur kerana sepanjang melalui detik itu saya tidak pernah rasa sakit yang teramat sehingga selesai rawatan kemoterapi terakhir sekitar Julai 2009," katanya.
    Walaupun terdapat kesan sampingan seperti keguguran rambut dan kening ketika itu, namun itu semua tidak mematahkan semangatnya untuk terus berjuang melawan penyakit itu. Lena menjalani kehidupan seperti biasa. Katanya dia ke pasar dengan memakai rambut palsu dan selendang.
    "Sebenarnya kesan daripada rawatan itu berbeza setiap individu. Ada yang mengalami reaksi teruk ada yang sederhana. Tapi yang penting kita kena bersedia," katanya yang banyak mengamalkan pemakanan sup, buah-buahan dan sayur-sayuran sepanjang rawatan tersebut.
    Melalui seorang teman, Lena mengetahui kewujudan Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia (NCSM) dan berminat untuk terlibat dengannya. Sejak dua tahun lalu dia aktif terlibat dengan kerja-kerja kebajikan yang dianjurkan pertubuhan itu.
    Selepas melalui detik-detik yang sukar, wanita yang sentiasa ceria itu percaya dirinya kini semakin tenang menjalani hidup. Bersama rakan-rakan di NCSM, dia berkongsi pengalaman demi meningkatkan kesedaran pesakit dan juga masyarakat bagi melawan penyakit gerun tersebut.
    "Ramai yang tidak tahu apa yang perlu dilakukan bila mengetahui diri menderita kanser. Mereka bersedih dan menyerah kepada takdir semata-mata tanpa mahu berusaha. Bagi saya, kanser itu tidak membunuh, tapi ketakutan yang membunuh kita sebenarnya," katanya penuh yakin.
    Lena menganggap kanser adalah rahmat yang diberi Tuhan hanya kepada insan terpilih sahaja. Penyakit itu katanya, mengajar tentang banyak perkara mengenai kehidupan yang hanya seketika cuma.
    Relay for Life
    Sementara itu, Penasihat Kehormat NCSM, Datuk Zuraidah Atan berkata, pihaknya menganjurkan satu acara perhimpunan kesedaran mengenai kanser yang dinamakan Relay For Life (RFL).
    "Ia telah diadakan di Melaka awal bulan Jun lalu. Selepas ini ia bakal dianjurkan pada 16 dan 17 Julai di Stadium UKM, Bangi pula," katanya.
    RFL kata beliau merupakan acara antarabangsa yang diperkenalkan oleh Persatuan Kanser Amerika dan telah dianjurkan oleh 22 buah negara. Menurutnya, program selama 16 jam tanpa henti (bermula malam hingga ke pagi) itu merangkumi aktiviti perarakan di atas stadium yang melambangkan usaha berterusan melawan kanser.
    "Selepas itu terdapat acara yang dipanggil luminaria bagi mengingati mangsa yang telah meninggal dunia akibat penyakit tersebut manakala keesokan harinya diadakan acara bersenam dan pelbagai aktiviti yang memberi manfaat," katanya.

    Saturday, June 18, 2011

    Kanser Payudara

    Sumber: Berita Harian
    Barah payudara yang parah atau metastatik adalah peringkat di mana sel-sel barah terpisah dari ketumbuhan utama payudara dan merebak ke bahagian lain badan melalui saluran darah atau sistem limpatik. 

    Berbanding dengan negara barat di mana lebih kurang enam peratus dari barah payudara adalah pada peringkat metastatik selepas pemeriksaan, sebaliknya wanita Malaysia disahkan mengenai barah payudara pada peringkat yang amat lambat.
    Bertahun-tahun lamanya, hospital seperti Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan Hospital Kuala Lumpur (HKL) mencatatkan antara 30 hingga 40 peratus barah payudara di peringkat yang parah.
    Ada beberapa jenis dan yang paling lazim berlaku ialah Karsinoma duktus. Ini adalah barah payudara yang paling kerap berlaku dan bermula dalam tisu pengalas duktus.
    Karsinoma lobul pula adalah barah yang timbul dari lobul manakala barah payudara metastatik adalah barah payudara yang merebak di luar payudara.
    Sel-sel barah ini sering ditemui dalam nodus limfa di bawah lengan (nodus limfa aksil.) Apabila barah sampai ke nodus ini, bermakna sel-sel barah sudah merebak ke bahagian badan yang lain seperti, tulang, hati atau paru-paru. 
    Mengikut kajian, jangka hayat seorang wanita yang menghidap barah payudara peringkat parah adalah lebih kurang dua hingga empat tahun saja.
    Bagaimanapun, dengan wujudnya pelbagai pilihan rawatan untuk penyakit pada peringkat metastatik, 21 peratus daripada jumlah pesakit mampu mencecah jangka hayat sehingga lima tahun.
    Di dunia, barah payudara adalah barah yang paling kerap dikalangan wanita yang menyebabkan lebih satu juta kes baru setiap tahun dan adalah penyebab utama kematian wanita yang berkaitan dengan barah. 
    Di Malaysia barah payudara adalah barah yang paling lazim pada keseluruhannya dan yang paling biasa di kalangan wanita tanpa mengira batas kaum dari usia 20 tahun mengikut kajian pada 2003 hingga 2005. 
    Presiden Persatuan Kebajikan Barah Payudara (BCWA), Ranjit Kaur menjelaskan kebanyakan pesakit yang disahkan menghidap barah payudara peringkat parah atau metastatik akan terus menyerah kalah. 
    “Keadaan ini sangat lazim kerana kebanyakan wanita yang ditimpa penyakit ini sedang berada di puncak kerjaya, sibuk menguruskan anak-anak dan keluarga juga suami. Ia seolah hukuman mati buat mereka.
    Bayangkan saja kesan dan bebanan emosi yang perlu ditanggung. Hakikat yang perlu mereka telan tidak terbayang dan tertanggung oleh sesiapapun.
    Apa yang terlihat hanyalah hari-hari kelam yang menuju kegelapan, akhirnya lebih rela membiarkan diri dimamah kesakitan fizikal yang amat sangat. 
    “Benar barah payudara peringkat parah atau metastatik tidak boleh dipulihkan, begitupun pelbagai pilihan rawatan kini membolehkan pesakit menguruskan dan mengawal penyakit itu dan ini memberikan mereka peluang untuk menjalani hidup yang lebih berkualiti dan sekali gus memanjangkan jangka hayat,” katanya ketika pelancaran kempen Pink Purse dan Be A Pink Angel anjuran BCWA bersama GlaxoSmithKline Pharmaceutical (GSK) di J Co Donuts & Coffee Sunway Pyramid baru-baru ini. 
    Lihat saja anggota BCWA yang datang dari pelbagai latar belakang agama, budaya, sosial dan peringkat usia. Barah payudara boleh dihidapi oleh sesiapa saja tidak kira lelaki mahupun wanita.
    Biar sejuta kempen kesedaran pun jika kekuatan dan mandiri itu tidak datang dari diri anda sendiri, segala usaha akan sia-sia.
    Lakukanlah pemeriksaan awal dan rutin, belajar cara pemeriksaan sendiri di rumah, sekurang-kurangnya anda masih punya peluang untuk menguruskan dan mengawalnya dengan baik.
     “Teruskanlah kehidupan demi masyarakat, teruskan hidup demi keluarga dan teruskan hidup demi anda. Golongan berisiko mendapat barah payu dara 




  • Risiko wanita adalah 100 kali ganda lebih tinggi berbanding lelaki. 








  • Sejarah keluarga 








  • Sejarah barah - wanita yang pernah menghidap barah payu dara punya risiko berulang empat kali ganda. 








  • Sejarah haid dan pembiakan - Melahirkan anak merendahkan risiko barah ini terutamanya jika kelahiran anak yang pertama berlaku sebelum ibu mencapai umur 30 tahun. 








  • Pemakanan - pengambilan lemak secara berlebihan 









  • Pengambilan hormon - wanita yang sudah putus haid dan mengguna hormon gantian (HRT- hormone replacement therapy) didapati mempunyai risiko barah payu dara yang lebih tinggi. Risiko ini meninggi hanya setelah lima tahun penggunaan hormon secara berterusan.  





  • Tuesday, June 14, 2011

    Batu Karang

    Sumber: Berita Harian
    SAKIT batu karang sudah terlalu kerap kita dengar. Jika bukan diri sendiri, pasti ada rakan atau saudara mara yang mengadu pernah berdepan masalah yang menjejaskan kehidupan seharian. 

    Apa tidaknya, ada yang sukar berjalan akibat kesakitan teramat sangat pada perut sehingga terpaksa cuti sakit.
    Apakah sebenarnya masalah ini?
    Batu karang merujuk keadaan yang mana wujud sisa mineral halus seakan batu kristal di sepanjang saluran kencing. Saluran ini mengandungi organ seperti buah pinggang, ureter, pundi kencing dan urethra yang berfungsi menapis darah untuk membuang kekotoran yang kemudian disingkir dari tubuh.
    Pembentukan batu biasanya mula terbentuk di buah pinggang sebelum bergerak ke bahagian lain saluran kencing hingga tersumbat di tiub yang lebih kecil seperti batu pundi, batu uriterik dan batu buah pinggang menyebabkan pesakit merasa sakit yang teramat sangat.
    Pakar Perunding Urologi Hospital Pakar KPJ Kajang, Dr Mohd Ridzwan Yusof berkata kelompok usia yang sering mengalami masalah ini adalah antara 20 hingga 40 tahun. Ada juga yang berlaku pada usia di bawah 20 dan melebihi 40 tahun, walau bagaimanapun kes begini adalah jarang. 
    Penyakit batu karang lebih mudah menyerang lelaki berbanding wanita iaitu pada nisbah tiga lelaki bagi setiap seorang wanita. Ini disebabkan lelaki memiliki hormon testosteron yang tinggi. Ia menjelaskan mengapa orang tua dan kanak-kanak jarang mendapat penyakit ini memandangkan hormon testosteron mereka rendah. 
    “Punca utama terbentuknya batu karang terbahagi kepada faktor luaran membabitkan diet yang tinggi kandungan bahan kimia atau purine. Bahan kimia ini ada di dalam organ dalaman haiwan, angsa, ekstrak daging, makanan laut, telur ikan dan arak,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.
    Faktor lain penyebab batuk karang adalah kurang minum air, keadaan kerja yang tidak banyak pergerakan (seperti di pejabat atau kerjaya pemandu lori, teksi) dan kerja di luar yang terdedah kepada matahari.
    Tidak ketinggalan, faktor geografi iaitu negara Asia termasuk Malaysia yang ramai pesakit batu karang serta bangsa yang mana mereka berkulit cerah lebih mudah menghidapnya berbanding kulit hitam. 
    Punca lain termasuk kadar mineral tidak seimbang, peningkatan hormon, pesakit yang menjalani pembedahan pintasan usus, kekurangan bahan-bahan pencegahan dalam air kencing (citrate, magnesium dan zink), jangkitan saluran kencing dan laluan kencing yang tidak normal. 
    “Kajian sebelum ini pula menunjukkan 25 peratus pesakit batu karang mempunyai sejarah keluarga dan ini bermakna ia ada kaitan dengan faktor genetik. Malah antara penyakit genetik yang dikaitkan dengan batu karang termasuk renal tubular, tubalar acidosis dan cystinuria,” katanya. 
    Dr Mohd Ridzwan berkata, tanda-tanda utama penyakit batu karang termasuk rasa senak secara mengejut dan berulang-ulang dan terlalu sakit hingga ada pakar yang menggambarkan kesakitannya lebih teruk daripada sakit bersalin, kencing berdarah, muntah-muntah dan kencing tak lawas. 
    Bagi tanda-tanda yang agak lewat pula, adalah kegagalan buah pinggang, loya, muntah dan sesak nafas. Mengenai saiz batu karang, katanya, ia bergantung kepada di mana lokasi ia terbentuk sama ada di dalam buah pinggang yang mana ia boleh memenuhi semua rongganya dengan saiz maksimum sehingga 4 sentimeter. 
    Dalam pundi kencing pula ia boleh memenuhi rongga itu sehingga 10 sentimeter dan di saluran uriter (antara buah pinggang dan pundi kencing) selalunya kurang daripada satu sentimeter. 
    Mengikut kaedah konservatif, batu karang boleh dirawat dengan meningkatkan pengambilan air sebanyak 3 liter sehari, rawatan perubatan atau ubat-ubatan mengurangkan asid dalam air kencing; ubat penahan sakit, suntikan dan ubat-ubatan pemecah batu yang tidak spesifik bagi kes yang tidak serius. 
    Apakah jenis batu dialami mereka?
    Menurut Dr Ridzwan, bagi 100 pesakit misalnya, kira-kira 80 peratus mengalami jenis batu kalsium, batu asid urik, struvite dan lain-lain. 
    Bagi kaedah kurang invasif atau tidak membabitkan pembedahan, beberapa cara boleh digunakan mengikut tahap batu karang pesakit seperti gelombang Extracorporial shockwave lithotripsy (ESWL) khusus untuk batu bersaiz kurang dua sentimeter. 
    Sesetengah batu seperti systine dan calsium oxalat monohydrate adalah sangat keras dan susah untuk dipecahkan menggunakan kaedah ini. Teknik ini juga tidak sesuai bagi mereka yang menghidap darah tinggi, masalah saluran darah mengambil ubat pencair darah dan batu yang dijangkiti kuman. 
    PCNL atau Percutaneous Nephrolithotripsy merawat batu saiz lebih dua sentimeter; retrograde Intrarenal surgery (RIRS) merawat batu kurang satu sentimeter yang mana batu karang itu dipecahkan menggunakan laser. 
    Apakah peluang pesakit untuk pulih?
    Biarpun hakikatnya, batu karang boleh pulih sepenuhnya, tetap ada kebarangkalian tinggi untuk berulang. Kajian di Amerika Syarikat menunjukkan 10 peratus pesakit boleh mengalami semula masalah itu dalam masa setahun, 35 peratus kes dalam masa lima tahun dan 50 peratus kes dalam masa 10 tahun. 
    Namun masih ada kaedah untuk mengelak penyakit itu berulang iaitu menerusi pengambilan air yang mencukupi sekurang-kurangnya tiga liter sehari. Di samping itu, menjaga pemakanan dengan mengamalkan diet rendah purin seperti bijirin, roti dan bihun, telur, hasil tenusu dan minuman seperti teh, kopi dan coklat. 
    Bagaimana pula dengan masyarakat yang sebaliknya lebih cenderung berjumpa pengamal perubatan alternatif terlebih dulu sebelum mendapat nasihat pakar? 
    Persepsi ini, kata Dr Mohd Ridzwan, harus diperbetulkan. 
    “Ada pelbagai cara dilakukan tetapi ada risikonya. Jika batu di buah pinggang itu tersumbat, anda dinasihatkan mendapatkan rawatan pakar dengan kadar segera kerana jika terlambat ia akan menyebabkan kerosakan buah pinggang atau kematian andai ada jangkitan kuman yang merebak dan menyebabkan keracunan dalam darah. 
    “Tidak salah menjalani rawatan sebegini kerana sebahagian besar pesakit saya melakukannya...cuma saya nasihatkan sekiranya anda melakukan rawatan alternatif ini sila pastikan anda diperiksa semula oleh pakar perubatan bertauliah di hospital untuk memastikan batu itu benar-benar sudah berjaya dikeluarkan.” 

    Sunday, June 5, 2011

    Kanser Pangkal Rahim

    Sumber: Harian Metro
    BARAH pangkal rahim atau lebih dikenali sebagai kanser servik adalah barah ketiga paling tinggi menyerang wanita di negara ini. Antara faktor risiko penyakit barah pangkal rahim disebabkan kehadiran antibodi kepada human papilloma virus (HPV), kumpulan virus yang sama yang menyebabkan ketuat kelamin (genital wart).
    Di Malaysia, masih ramai wanita yang kurang mengambil berat mengenai kanser pangkal rahim sedangkan ia perlu pencegahan awal iaitu pada usia meningkat remaja. Justeru, bagi terus menimbulkan kesedaran terhadap penyakit itu, Persatuan Barah Kebangsaan Malaysia (NCSM) dengan sokongan GlaxoSmithKline, menganjurkan Kempen Cegah Barah Rahim Dengan Bergaya Bersama Rakan Karib.

    Ia adalah lanjutan kempen Power Over Cervical Cancer (POCC) yang dilancarkan pada Julai 2009, dengan matlamat mewujudkan kesedaran berkekalan mengenai pangkal rahim dan pada masa sama, menggalakkan wanita berbincang dengan pakar kesihatan serta mendapatkan perlindungan.
    Ketua Eksekutif dan Pengarah Perubatan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), Dr Saunthari Somasundaram berkata, masih ramai wanita tidak mengetahui mengenai penyakit kanser pangkal rahim.

    “Kanser pangkal rahim adalah penyakit ketiga tertinggi menyerang wanita Malaysia selepas kanser payudara dan kanser kolorektal. Jika dibiarkan, boleh menjejaskan kerjaya dan keluarga.

    “Di Asia Pasifik, penyakit ini membunuh wanita setiap empat minit. Malangnya, masih ramai yang tidak mendapat kesedaran dengan membuat pemeriksaan kesihatan awal mencegahnya,” katanya selepas merasmikan kempen itu, baru-baru ini.
    Bekas pesakit, Genevieve Sambhi, 37, berkata dia tidak pernah menyangka akan mendapat penyakit kanser servik disebabkan tiada siapa dalam keluarganya menghidapi penyakit itu.

    “Saya mengamalkan gaya hidup sihat seperti tidak merokok, tidak minum arak dan berjoging setiap hari. Saya juga tidak pernah berasa sakit sehinggalah disahkan menghidap kanser itu pada April 2009.
    “Saat diberitahu mengenainya, saya hanya memikirkan mati. Saya juga seakan mahu putus asa untuk hidup dan tidak dapat bayangkan jika keluarga, anak dan kawan tiada di sisi menyokong,” katanya yang sudah pulih daripada penyakit itu.

    Tambah Genevieve, tiada simptom yang dapat mengesan seseorang itu mempunyai kanser pangkal rahim. Disebabkan itu, setiap wanita digalakkan menjalani pemeriksaan pap smear sebagai langkah pencegahan.

    “Kepada wanita yang disahkan menghidap kanser pangkal rahim, dinasihatkan supaya terus kuat melawan penyakit itu dan tidak mudah putus asa. Dapatkan nasihat dan rawatan daripada doktor secara berterusan,” katanya.
    Sebab terjadi?
    Ia disebabkan virus HPA yang berjangkit melalui hubungan seks. Apabila wanita terdedah kepada HPV, sistem imun badan selalu dapat menangkis serangan virus ini daripada menjangkiti wanita tetapi bagi sebahagian kecil wanita, virus berpeluang hidup bertahun-tahun sehingga ia menukar sel yang terdapat pada permukaan serviks kepada sel kanser. Separuh daripada kanser ini terjadi pada mereka yang berusia 35 hingga 55 tahun.

    Tanda dan gejala
    1. Pendarahan ketika melakukan hubungan seks.
    2. Pendarahan pada pertengahan bulan.
    3. Pendarahan selepas menopaus.
    4. Keluar lendir berdarah yang busuk daripada faraj.
    5. Sakit ketika melakukan hubungan seks.

    Wanita berisiko mendapat kanser serviks?1. Mempunyai lebih daripada seorang pasangan.
    2. Mula aktif hubungan seks sebelum usia 18 tahun.
    3. Mengalami jangkitan kuman seperti sifilis, gonorhoea, chalmydia atau HIV.
    4. Kurang daya tahan imun.
    5. Merokok.
    Apa yang akan doktor lakukan sekiranya dikesan mempunyai kanser serviks?
    Ujian Pap smear:
     Doktor akan mengambil sedikit tisu pada permukaan serviks dan hantar ke makmal. Ujian ini akan mengesan sebarang keganjilan pada serviks seperti sel prabarah. Ujian ini digalakkan dilakukan setiap tahun bagi mengesan kanser peringkat awal yang mungkin boleh menyelamatkan nyawa.
    Ujian HPV
    Ujian ini boleh mengesan kuman HPV yang spesifik terhadap kanser serviks seperti strain 16 dan 18, iaitu penyebab utama kanser pangkal rahim.
    Colposcopy: 
    Doktor akan menggunakan mikroskop khas untuk memeriksa pangkal rahim. Sekiranya ada, sedikit biopsi akan diambil dan dihantar ke makmal. Kadangkala biopsi kon akan dibuat sekiranya didapati sel barah merebak lebih dalam.
    Rawatan
    Rawatan bergantung kepada tahap kanser berkenaan dan sejauh mana ia merebak. Sekiranya masih pada peringkat awal, pembedahan buang rahim disarankan dan pembedahan yang lebih radikal akan dilakukan sekiranya kanser sudah merebak ke organ berdekatan. Rawatan sampingan lain termasuk radiasi dan kemoterapi.

    Cara mencegah?Anda boleh mengurangkan risiko dihidapi kanser pangkal rahim dengan mencegah jangkitan kuman HPV. HPV merebak melalui hubungan seks, maka penggunaan kondom boleh mengurangkan risiko HPV.

    Kurangkan HPV dengan
    1. Berhubungan seks dengan seorang pasangan.
    2. Elakkan hubungan seks pada usia muda.
    3. Tidak merokok.
    4. Mendapat imunisasi terhadap jangkitan HPV
    5. Suntikan vaksin.

    Vaksin terhadap HPV
    Kini terdapat vaksin yang boleh mencegah kebanyakan strain HPV yang menjadi punca kepada kanser serviks. Gadis semuda usia 13 tahun digalakkan mengambil vaksin ini. Ia boleh mencegah sehingga 70 peratus jangkitan HPV dan lebih efektif sekiranya diberikan sebelum gadis menjadi aktif secara seksual. Ia turut disarankan kepada semua wanita sehingga usia 46 tahun.

    Di manakah boleh mendapatkan suntikan vaksin ini? Vaksin boleh didapati di klinik pakar berdekatan.
    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
     
    COPYRIGHT AND TEMPLATE DESIGN ALL RIGHT RESERVED BY CIK ROSE CUTE wink