Followers

Showing posts with label sumber: Utusan Malaysia. Show all posts
Showing posts with label sumber: Utusan Malaysia. Show all posts

Sunday, December 14, 2014

Fakta harus diketahui

Latihan angkat beban 1.5kg merupakan teknik terbaik untuk mereka yang berusaha untuk mendapatkan payudara yang kencang.

 
Pinjam pic google

 Sumber: Mingguan Malaysia 14/12/14

Saturday, November 19, 2011

Puting sakit ketika menyusukan anak

Soalan:
SAYA ibu yang menyusu bayi pertama berusia sebulan. Seringkali puting saya sakit ketika menyusukan bayi, tambahan pula bayi saya baru tumbuh gigi, kini sukar untuk saya menyusukan bayi dengan selesa. Adakah ia perkara biasa? dan bagaimanakah cara untuk mengurangkan rasa sakit tersebut?
 
* SJ-Johor

Jawapan: 

Sebagai seorang wanita yang bergelar ibu, terlebih dahulu saya ingin mengucapkan syabas kepada Puan SJ kerana berusaha menjadi seorang ibu yang berjaya dalam penyusuan. Susu ibu adalah hak setiap anak yang perlu ditunaikan oleh seseorang ibu. Kejayaan seseorang ibu menyusui anaknya sehingga berusia sekurang-kurangnya dua tahun akan menjadikan anda seorang ibu yang cukup sempurna.

Menyusui bayi adalah satu tuntutan yang amat digalakkan oleh setiap agama dan kepercayaan. Penyusuan susu ibu adalah tuntutan yang diutamakan dalam agama Islam. Terdapat banyak ayat Al-quran yang menyebut tentang kepentingan menyusui anak, sama ada oleh ibu yang melahirkan anak ataupun ibu susuan. Seruan untuk menyusui anak telah disebut melalui firman Allah di dalam Al-quran melalu surah Al-Baqarah ayat ke 233 yang bermaksud: "Ibu-ibu hendaklah menyusui selama dua tahun genap bagi mereka yang ingin menyempurnakan penyusuan". 

Menyusui bayi dengan susu ibu bukanlah sesuatu yang payah, ia juga bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan. Pengetahuan tentang penyusuan akan membantu meningkatkan keyakinan ibu dan seterusnya mendorong ibu untuk mengatasi dugaan dan rintangan seperti mana yang sedang puan hadapi.

Terdapat ibu yang mencerai susu ketika mereka rasa bayi mereka akan mula tumbuh gigi, tetapi menyusu badan pada peringkat ini adalah suatu yang normal dan semula jadi. Keperluan nutrisi bayi dipenuhi terutamanya dengan susu untuk sekurang-kurangnya tahun pertama. Ramai bayi yang diberi susu badan akan ada gigi dan kebanyakan tidak akan menggigit ibu mereka. 

kesakitan
Tetapi jika pada kali pertama dia menggigit, iaitu jika bayi anda tergigit payu dara anda, barangkali anda akan menjerit kesakitan. Reaksi anda yang kuat itu mungkin akan memeranjatkan bayi anda sehingga dia tidak berani mengulanginya. Sesetengah bayi boleh menjadi begitu terkejut atau takut akibat reaksi kuat sehingga mereka menolak penyusuan badan. 

Jika gigitan berterusan, anda masih tidak perlu mencerai susu bayi anda kecuali jika anda mahu. Mengetahui apa yang menyebabkan dia menggigit dan cuba memuaskan keperluan bayi anda untuk menggigit menggunakan cara lain boleh menyelesaikan masalah ini dengan cepat. 

Kebanyakan ibu mendapati penyusuan badan tetap pengalaman yang baik apabila mereka dapat hentikan kejadian menggigit ini. Sebab-sebab lain mengapa bayi anda menggigit adalah ketika tertidur, sesetengah bayi menggigit pada penghujung penyusuan apabila mereka terlelap. 

Oleh itu, perhatikan pemerlahanan dan pelemahan pergerakan rahangnya dan alihkan bayi anda sebelum dia terlena. Justeru itu, jika bayi anda kelihatan seperti hampir hendak menggigit, masukkan jari kelengkeng anda ke dalam sudut mulut di antara gusinya. Dia patut menggigit jari anda dan bukan puting anda. Jangan tariknya sementara dia sedang menggigit - anda hanya akan mencederakan diri. Perhatikan penegangan rahangnya sebelum dia menggigit dan cepat-cepat alihkannya. Anda mungkin perlu singkatkan waktu menyusu secara am sehingga fasa ini berakhir. 

Cara-cara lain untuk menghentikan bayi yang menggigit adalah dengan mengatakan "tidak" dengan tegas, merenung ke dalam matanya dengan marah dan hentikan penyusuan. 

menggigit
Dia perlu mengaitkan menggigit dengan kehilangan puting - kebanyakan bayi tidak suka dengan perpisahan ini. Jika dia teruskan juga, letakkannya di atas lantai untuk seketika sebaik saja dia menggigit. 

Untuk kanak-kanak yang boleh berjalan dan suka menggigit, lakukan sesuatu yang baik apabila dia tidak menggigit. 

Berikannya banyak pelukan, ciuman dan pujian. Jika anda rasa dia inginkan perhatian, berikan perhatian sepenuhnya semasa penyusuan. Belajar menyedari bila dia sudah hampir selesai. Anda juga jangan menyusukannya kecuali dia betul-betul lapar. Hentikan penyusuan jika dia mula terlelap. Berikannya gegelang gigit sebelum dan atau selepas penyusuan.

Sumber: Utusan

Monday, August 8, 2011

Bonus setengah bulan untuk penjawat awam

Sumber: Utusan Malaysia
KUALA LUMPUR 8 Ogos – Kerajaan bersetuju membayar bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada penjawat awam bulan ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan juga bersetuju memberi bayaran khas sebanyak RM500 kepada pesara kerajaan. 
"Bonus dan bayaran khas ini akan dibuat pada pertengahan bulan ini,” kata Najib yang juga Menteri Kewangan dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, bonus itu adalah bagi menghargai sumbangan serta dedikasi penjawat awam dalam memudah dan menjayakan pelaksanaan program pembangunan negara.
Perdana Menteri berkata, kerajaan berharap pemberian bonus dan bayaran khas ini dapat meringankan beban penjawat awam dan para pesara kerajaan dan membantu mereka membuat persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri. – Bernama
Alhamdulillah

Sunday, June 19, 2011

Ketakutan itu membunuh

Sumber : Utusan Online
BAGAIMANA perasaan anda andai suatu hari diberitahu doktor bahawa penyakit yang paling ditakuti sudah bersarang dalam tubuh? Gementar, cemas, takut dan pastinya soalan ini yang terbit dari bibir, "Mengapa saya?"
Soal sebanyak mana sekali pun, anda pasti tidak akan menemui jawapannya. Begitu yang dialami Lena Abdullah, saat disahkan bahawa ketulan kecil yang terdapat di bahagian pahanya adalah sel kanser yang sedang agresif.
Rasa takut dan putus asa menguasai diri. Berhari-hari beliau menangis dan memikirkan kenapa keadaan itu berlaku kepada dirinya.
"Saya tidak merokok, sentiasa bersenam dan menjaga pemakanan. Malah saya juga tidak ada sejarah keluarga yang menghidap kanser, namun kenapa ia berlaku?," katanya memulakan bicara.
Namun, ibu kepada empat cahaya mata itu tidak mahu mengalah dan terus bersedih. Berbekalkan sokongan keluarga terutama bila memikirkan anak-anak yang sedang meningkat remaja, dia mengumpul sisa kekuatan untuk bangkit melawan penyakit tersebut.
Melalui Internet dan buku, dia memperoleh sebanyak mungkin maklumat yang berkaitan. Tanpa menunggu lebih lama, Lena terus menjalani pembedahan membuang ketumbuhan.
Tidak mempedulikan kata-kata 'nakal' seperti kemoterapi menyakitkan, wanita berasal dari Pulau Pinang itu tabah melalui setiap satu rawatan yang diwajibkan untuknya.
"Alhamdulillah, walaupun menderita kanser, namun saya bersyukur kerana sepanjang melalui detik itu saya tidak pernah rasa sakit yang teramat sehingga selesai rawatan kemoterapi terakhir sekitar Julai 2009," katanya.
Walaupun terdapat kesan sampingan seperti keguguran rambut dan kening ketika itu, namun itu semua tidak mematahkan semangatnya untuk terus berjuang melawan penyakit itu. Lena menjalani kehidupan seperti biasa. Katanya dia ke pasar dengan memakai rambut palsu dan selendang.
"Sebenarnya kesan daripada rawatan itu berbeza setiap individu. Ada yang mengalami reaksi teruk ada yang sederhana. Tapi yang penting kita kena bersedia," katanya yang banyak mengamalkan pemakanan sup, buah-buahan dan sayur-sayuran sepanjang rawatan tersebut.
Melalui seorang teman, Lena mengetahui kewujudan Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia (NCSM) dan berminat untuk terlibat dengannya. Sejak dua tahun lalu dia aktif terlibat dengan kerja-kerja kebajikan yang dianjurkan pertubuhan itu.
Selepas melalui detik-detik yang sukar, wanita yang sentiasa ceria itu percaya dirinya kini semakin tenang menjalani hidup. Bersama rakan-rakan di NCSM, dia berkongsi pengalaman demi meningkatkan kesedaran pesakit dan juga masyarakat bagi melawan penyakit gerun tersebut.
"Ramai yang tidak tahu apa yang perlu dilakukan bila mengetahui diri menderita kanser. Mereka bersedih dan menyerah kepada takdir semata-mata tanpa mahu berusaha. Bagi saya, kanser itu tidak membunuh, tapi ketakutan yang membunuh kita sebenarnya," katanya penuh yakin.
Lena menganggap kanser adalah rahmat yang diberi Tuhan hanya kepada insan terpilih sahaja. Penyakit itu katanya, mengajar tentang banyak perkara mengenai kehidupan yang hanya seketika cuma.
Relay for Life
Sementara itu, Penasihat Kehormat NCSM, Datuk Zuraidah Atan berkata, pihaknya menganjurkan satu acara perhimpunan kesedaran mengenai kanser yang dinamakan Relay For Life (RFL).
"Ia telah diadakan di Melaka awal bulan Jun lalu. Selepas ini ia bakal dianjurkan pada 16 dan 17 Julai di Stadium UKM, Bangi pula," katanya.
RFL kata beliau merupakan acara antarabangsa yang diperkenalkan oleh Persatuan Kanser Amerika dan telah dianjurkan oleh 22 buah negara. Menurutnya, program selama 16 jam tanpa henti (bermula malam hingga ke pagi) itu merangkumi aktiviti perarakan di atas stadium yang melambangkan usaha berterusan melawan kanser.
"Selepas itu terdapat acara yang dipanggil luminaria bagi mengingati mangsa yang telah meninggal dunia akibat penyakit tersebut manakala keesokan harinya diadakan acara bersenam dan pelbagai aktiviti yang memberi manfaat," katanya.

Saturday, May 21, 2011

Ujian Mamogram part 2


Lebih awal seseorang wanita menjalankan ujian pengesanan kanser payu dara, semakin cepat dan berkesan kaedah rawatan yang boleh diambil jika mereka berisiko atau diserang penyakit itu.

Justeru, selain ujian Pemeriksaan Sendiri Payudara (PSP) yang perlu dilakukan setiap bulan untuk mengesan simptom kanser pembunuh nombor satu kaum hawa itu, wanita digalakkan menjalani mamogram.

Mamogram adalah ujian pemeriksaan payu dara menggunakan Sinar-X yang memaparkan imej-imej terperinci payu dara termasuk keadaan lemak, kelenjar susu dan saluran darah selain kelenjar di bahagian ketiak.

Mamogram amat berkesan dalam mengesan kanser payu dara pada peringkat awal walaupun ketika ia hanya dilihat umpama sekumpulan kalsium halus atau disebut mikrokalsifikasi.

Mamogram perlu dilakukan wanita berusia 40 tahun ke atas dalam tempoh sekurang-kurangnya setahun sekali.

Bagi wanita berusia di bawah usia 40 tahun, mereka tidak digalakkan menjalankan Mamogram kerana tisu payu dara yang lebih tebal menyebabkan hasil ujian itu kurang berkesan.

Setiap wanita di bawah usia 40 tahun digalakkan melakukan PSP tiga atau empat hari selepas haid setiap bulan.

Ujian mamogram amat penting kerana ia dapat mengesan sehingga 97 peratus simptom barah payu dara dan hasil kajian perubatan yang dijalankan, mamogram mampu mengurangkan 30 peratus kematian akibat penyakit ini.

Bila doktor mengesyaki ada simptom barah payu dara, doktor akan menghantar tisu pesakit ke makmal bagi mengesahkannya.

Jadi sekiranya wanita disahkan barah, ia adalah peringkat satu yang mana boleh dirawat dengan mudah tanpa menggunakan kimoterapi.

Bagaimanapun, wanita yang mempunyai sejarah ahli keluarga berpenyakit barah payu dara harus menjalani mamogram lebih awal, iaitu pada usia 35 tahun.

Tuesday, April 12, 2011

Tiada telur palsu dipasaran

Alhamdulillah negara kita bebas dari telur palsu, selepas ini kita tak perlulah ragu2 dan bimbang lagi untuk membeli telur di pasaran.


PUTRAJAYA 11 April – Jabatan Perkhidmatan Veterinar mengesahkan sejumlah telur yang dirampas di Pulau Tikus, Pulau Pinang minggu lalu adalah tulen dan bukannya telur tiruan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Abdul Aziz Jamaluddin berkata, hasil pemeriksaan dan penelitian fizikal ke atas telur tersebut membuktikan ia tidak mempunyai ciri-ciri telur tiruan.

Beliau menjelaskan, telur itu adalah tulen tetapi berdasarkan ‘keganjilan’ pada fizikalnya yang besar, ia tidak sepatutnya dijual di negara ini.
“Mengikut kajian kita, apa yang ditakrifkan sebagai telur tiruan seperti yang didakwa Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) adalah telur itu luar biasa dari segi saiz kerana lebih besar dan tidak mempunyai bentuk bulat telur.
“Bagaimanapun, ujian kita mendapati kulit dan isi kandungannya tidak mempunyai banyak perbezaan kerana ia memang tulen dan isu mengenai kewujudan telur tiruan adalah tidak benar.
“Rakyat tidak perlu bimbang kerana situasi terkawal dan dalam pengawasan serta tindakan pihak kerajaan,” katanya pada sidang akhbar mengenai isu telur tiruan di ibu pejabat jabatan itu, di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai pendedahan CAP berhubung penjualan telur ayam tiruan di pasar Pulau Tikus, baru-baru ini.

Hadir sama, Perunding Eksekutif Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM), Dr. Abd. Rahman Md. Saleh.
Abdul Aziz berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan serta Kementerian Kesihatan turut melakukan ujian makmal berasingan ke atas telur tersebut bagi mengetahui kandungan dan kesahihan aduan tersebut.

Sementara itu, Abdul Aziz berkata, pihaknya akan menjalankan kerjasama dengan FLFAM untuk mewajibkan pengusaha telur menjalankan sistem penggredan telur keluaran ladang masing-masing.
“Ini adalah untuk membolehkan pengguna dapat mengetahui gred telur, tarikh dikutip dari ladang dan tarikh luputnya,” katanya.

Menurutnya, sehingga kini, FLFAM mempunyai 340 ladang bersaiz besar, sederhana dan kecil yang mampu mengeluarkan 23 juta biji telur setiap hari.
Dalam pada itu, beliau berkata, mekanisme sistem penggredan itu perlu dilakukan secepat mungkin bagi memastikan sebuah standard piawaian baru mengenai telur tempatan dapat diwujudkan kerana ia penting untuk menjamin tahap keselamatan sesuatu produk makanan

Friday, March 25, 2011

Soya Mengurangkan Risiko Kanser Payudara

Aku tertarik dengan artikel Utusan Malaysia hasil tulisan ZUHAYATI YAZID  yang mengaitkan pengambilan soya dalam menu seharian boleh mengurangkan risiko kanser payudara.

Copy paste artikel tersebut sebagai rujukan:-

Wanita sebenarnya mempunyai reaksi yang berbeza apabila diberitahu ada sesuatu yang tidak kena dengan payu dara mereka.

Apa yang lebih membimbangkan atau mungkin menjadi trauma dalam hidup, jika wanita itu didiagnosis menghidap barah payu dara.

Kini, dengan ledakan teknologi moden dan pengesanan awal terhadap pembunuh nombor satu wanita itu mampu mengurangkan risiko berlakunya kanser.

Bagaimanapun pemakanan yang teratur dan sihat memainkan peranan penting dalam menjalani kehidupan yang sempurna.

Bukan lagi rahsia, melalui pemakanan berasaskan soya mampu mengurangkan risiko terjadinya kanser payu dara di kalangan wanita.

Ini terbukti apabila satu kajian secara klinikal yang telah dilakukan oleh Yayasan Penyelidikan Kesihatan Awam Tokyo, di bawah Kumpulan Penyelidikan Bakteria Asid Laktik dan Kanser Payu Dara yang dilakukan oleh profesor di Jabatan Pembedahan, Universiti Kyoto, Jepun, Dr. Masakazu Toi bersama seorang profesor dari Jabatan Biostatistik di Universiti Tokyo, Dr. Yasuo Ohashi.

Mereka mendapati pengambilan soya dan begitu juga pengambilan minuman yang mengandungi bakteria Strain Shirota iaitu minuman susu kultur, Yakult secara tetap dan berterusan mampu mengurangkan risiko yang boleh membawa kepada kanser payu dara.

Malah, dalam kajian yang dilakukan oleh penyelidik ini mendapati, wanita yang mengambil minuman susu kultur dengan lebih kerap di lihat kurang berpotensi untuk di jangkiti kanser payu dara, walaupun mereka tidak mengambil makanan berasaskan soya dalam jumlah yang banyak.

Kajian itu juga mendapati pengambilan secara tetap setiap hari produk yang mengandungi bakteria Lactobacilus casei Shirota (LcS atau lebih dikenali sebagai Strain Shirota) semenjak usia remaja mampu mengurangkan risiko seseorang wanita itu terkena kanser payu dara.

''Ini terbukti kerana komponen di dalam makanan yang berasaskan soya dan Strain Shirota mempunyai fungsi yang boleh melindungi daripada kejadian kanser payu dara di kalangan mereka yang mengambilnya,'' ujarnya semasa membentangkan kertas kerja di Simposium Kanser Payu Dara di San Antonio, Amerika Syarikat Disember lalu.

Kajian kertas kerja itu mengkaji hubung kait antara pengambilan minuman yang mengandungi Strain Shirota dan makanan yang berasaskan soya dengan penyebab kanser payu dara.

Bakteria yang dinamakan LcS dapat mengawal pertumbuhan bakteria perosak di dalam usus dan sekali gus mengatasi masalah kesihatan di kalangan yang mengambilnya.

Beliau menjelaskan bahawa kesan perlindungan tersebut mungkin disebabkan oleh kesan bakteria Strain Shirota ke atas mikroflora usus yang telah membantu penghadaman isoflavon soya yang berkaitan rapat dengan pengurangan kanser payu dara.

''Strain Shirota juga mampu meningkatkan sistem imunisasi semula jadi tubuh khususnya aktiviti-aktiviti yang boleh menjejaskan kesan perlindungan," tegasnya.

Tegasnya dalam kajian itu, seramai 355 pesakit berumur 40 hingga 55 tahun yang menjalani pembedahan kanser payu dara dari tempoh Oktober 2007 hingga Mac 2009 dan 710 orang yang sihat yang tinggal di kawasan yang sama dan berumur sebaya dijadikan objek dalam kajian tersebut.

''Mereka dikaji berdasarkan kepada diet dan gaya hidup sejak masih remaja lagi dan semasa dewasa.

''Hasilnya, didapati sebanyak 30 peratus risiko kanser payu dara dapat dikurangkan bagi mereka yang mengambil minuman yang mengandungi bakteria asid laktik iaitu susu berkultur Yakult sebanyak empat kali atau lebih seminggu berbanding mereka yang mengambil tiga kali atau kurang dalam seminggu," kata Dr. Toi.

Dalam pada itu, sebanyak 40 peratus risiko kanser payu dara dapat dikurangkan bagi mereka yang menyatakan mereka tidak makan banyak produk soya tetapi minum Yakult empat kali atau lebih seminggu berbanding dengan mereka yang minum tiga kali atau kurang seminggu.

''Sebelum ini terdapat kajian yang mendapati pengambilan unsur soya turut memberi pengaruh dalam pengurangan risiko kanser payu dara.

''Penyumbang kepada pengurangan risiko kanser payu dara itu adalah disebabkan oleh pengaruh LcS kepada mikroflora yang terdapat pada usus yang sekali gus menambahbaikan metabolisme pada unsur soya," katanya.

Tuesday, March 15, 2011

Genetik tingkatkan Kanser Kolon?

Hampir 2 tahun yang lepas, saya telah kehilangan seorang abang kandung akibat kanser kolon, mungkinkah diri ini berisiko tinggi untuk mendapat kanser tersebut, artikel hasil tulisan Noor Fazrina Kamal - Utusan Malaysia telah menarik minatku untuk berkongsi pengetahuan mengenai kanser kolon.
SIAPA sangka keseronokan menikmati hidup tanpa sebarang penyakit bahaya lebih separuh abad akhirnya diuji dengan penyakit kanser kolon pada usia emas.
Bukan mudah untuk mengenal pasti puncanya kerana penyakit ini tiada penyebab tunggal. Hampir semua kanser kolon bermula dengan ketumbuhan bukan kanser atau dikenali sebagai polip yang akhirnya secara senyap bertukar menjadi sel kanser.
Dr. Abdul Malik Jamal Buhari, Pakar Gastroenterologi dari Pusat Perubatan Kelana Jaya, Selangor berkata, sesiapapun mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk menghidap kanser kolon jika usia melebihi daripada 60 tahun.
Antara risiko-risiko lain ialah makan satu diet tinggi dalam daging merah atau daging proses, mempunyai polip kolorektal, berpenyakit radang usus penyakit Crohn atau kolitis berulser) dan ahli keluarga pernah menghidap kanser usus.
Kolon atau kolorektal, ialah kanser yang berlaku di awal usus besar (kolon) atau dubur (akhir kolon). Lain-lain jenis kanser boleh menjejaskan kolon, seperti limfoma, tumor karsinoid, melanoma dan sarkoma. Kes-kes seperti yang dinyatakan sebelum ini adalah yang luar biasa.
Diagnosis awal boleh meningkatkan kesembuhan. Apa anda makan boleh memainkan peranan dalam kanser risiko usus besar anda.
  • Kanser kolon boleh terjadi dengan satu serat rendah yang tinggi lemak diet dan daging merah.
  • Merokok dan minuman beralkohol adalah faktor risiko lain yang berkaitan dengan punca kanser kolon.
  • Banyak kes kanser kolon tidak mempunyai gejala-gejala.
Gejala-gejala berikut bagaimanapun, mungkin menunjukkan kanser kolon:
  • Sakit abdomen dan rasa tidak puas selepas membuang air besar.
  • Darah dalam najis.
  • Cirit-birit, sembelit atau perubahan lain dalam tabiat-tabiat membuang air.
  • Sekatan usus.
  • Kehilangan berat dengan tiada alasan yang diketahui.
Tanda-tanda dan ujian-ujian
Cara untuk mendiagnos penyakit kanser kolon ialah menerusi kolonoskopi dan Sigmoidoscopy. Bagaimanapun hanya melalui proses kolonoskopi membolehkan kita melihat keadaan keseluruhan kolon.
Ujian darah juga boleh dibuat untuk mengesan penyakit ini. Ujian ini dinamakan complete blood count (CBC) untuk anemia.
Ujian fungsi hati
Tambah Dr. Abdul Malik , sindrom genetik tertentu turut meningkatkan risiko untuk kanser kolon.
Jika doktor anda mengesyaki yang anda mempunyai barah kolorektum, lebih banyak ujian akan diadakan untuk melihat jika kanser itu telah merebak. Ini dipanggil pemeringkatan CT atau MRI mengimbas abdomen, kawasan pinggul, dada, atau otak boleh digunakan untuk melakonkan kanser. Kadang-kadang, imbasan PET juga digunakan.

Tuesday, March 8, 2011

Kepentingan Ujian Saringan Kesihatan


Saya tertarik dengan artikel Utusan Malaysia oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN mengenai Kepentingan Ujian Saringan Kesihatan, jom kita kongsi bersama2 sebagai panduan buat kita semua.

SEJAUH mana anda menyedari kepentingan ujian saringan dan menjalani pemeriksaan itu? Kebanyakan orang kurang sedar malah ada segelintir tidak tahu langsung apakah itu ujian saringan dan keperluannya dalam memelihara kesihatan.

Ujian saringan adalah kajian atau penilaian untuk mengesan simptom awal penyakit kronik bagi memudahkan pencegahan dan rawatan.

Pakar Perubatan Keluarga Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) , Dr. Nani Deraman berkata, ujian saringan terbahagi kepada banyak jenis dan satu daripadanya yang sering digalak serta diberi penekanan untuk dijalankan adalah Ujian Saringan Kardiovaskular .

Katanya, dengan Ujian Saringan Kardiovaskular, doktor akan melakukan tiga ujian iaitu tekanan darah, kandungan gula dalam darah dan paras kolesterol dalam darah untuk mengesan penyakit-penyakit kronik berkaitan jantung.

"Pemeriksaan tekanan darah dilakukan untuk mengesan penyakit darah tinggi atau darah rendah, kandungan gula dalam darah bagi kencing manis dan paras kolesterol dalam darah untuk memastikan tahap kolesterol seseorang.

"Doktor akan mengambil satu sampel darah dari badan seseorang untuk ketiga-tiga ujian ini dan ia akan dihantar ke makmal bagi memperoleh keputusan tepat.

"Jika seseorang mempunyai penyakit atau berisiko mendapat penyakit kronik, doktor akan merawatnya melalui ubat, memantau dan memberikan cara terbaik mengatasi serta mengawalnya supaya ia tidak menjadi serius," katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.

Nani memberitahu, bagaimanapun, masyarakat dilihat kurang menjalankan ujian saringan atas beberapa faktor antaranya tidak mempunyai kesedaran mendalam mengenai kepentingan pemeriksaan itu dan kesibukan masa.

Justeru, beliau menggesa orang ramai supaya melakukan ujian saringan kerana ia amat penting dalam menunjukkan keadaan kesihatan semasa mereka dan mampu mengurang atau mengelakkan risiko dijangkiti penyakit kronik berkaitan kardiovaskular.

Beliau berkata, penyakit darah tinggi, kencing manis dan paras kolesterol tinggi adalah faktor utama menyumbang kepada penyakit jantung yang menjadi penyakit pembunuh nombor satu di negara ini.

Menurutnya, secara normal, seseorang digalak menjalankan ujian saringan sekali setiap tahun bermula usia 40 tahun dan ke atas.

Bagaimanapun, individu yang mempunyai sejarah keluarga berpenyakit kronik dinasihatkan berjumpa doktor pada usia lebih muda untuk mengetahui secara lanjut mengenai ujian saringan ini, ujian saringan lain dan tempoh bersesuaian menjalankan pemeriksaan berkenaan.

"Seseorang boleh menjalankan ujian saringan di mana-mana klinik kerajaan dan hospital, klinik serta makmal swasta yang menyediakan perkhidmatan berkenaan.

"Mereka perlu berpuasa selama lapan jam sebelum boleh menjalani ujian saringan.

"Tempoh ujian saringan hanya beberapa minit namun keputusan tepatnya akan diperoleh dalam jangkamasa kira-kira seminggu jika dijalankan di hospital, klinik dan makmal swasta serta sebulan di klinik kerajaan," ujarnya.

Friday, January 28, 2011

Susu badan elak ekzema

Sumber: Utusan Malaysia

Oleh MARIATUL QATIAH ZAKARIA
maria.zakaria@utusan.com.my

KULIT berfungsi melindungi organ-organ dalaman badan manusia. Ia juga merupakan organ paling besar. Walaupun ia berfungsi melindungi tubuh daripada kecederaan, tetapi kulit sangat sensitif. Tahap sensitivitinya berbeza serta bergantung kepada ketebalan epidermis (bahagian luar kulit luar). Justeru, sebagai organ terbesar yang meliputi bahagian luar tubuh, tidak hairanlah pelbagai masalah timbul pada kulit.

Antara masalah yang sering terjadi ialah penyakit kulit dan ada pelbagai jenis penyakit yang menyerang kulit baik kanak-kanak mahupun orang dewasa.

Salah satu penyakit kulit yang sering dihadapi ialah ekzema. Penyakit ini lazimnya akan 'menyerang' kanak-kanak. Hampir setiap satu dalam lima kanak- kanak akan menghadapi penyakit tersebut iaitu lebih kurang 15 hingga 20 peratus kanak-kanak di seluruh dunia.

Ekzema menyebabkan kegatalan dan penghidapnya terpaksa menanggung kesakitan selain mengalami tekanan perasaan.

Untuk pengetahuan umum, ekzema merupakan sejenis penyakit kulit yang melibatkan gangguan kepada lapisan pelindung kulit dan menyebabkan reaksi hipersensitif kulit yang menyebabkan radang, gatal-gatal yang melampau (intense itch) dan kulit bersisik.

Menurut Pakar Kanak-Kanak, Hospital Pakar KPJ Kajang, Dr. Nor Mahani Harun, ekzema yang juga dikenali sebagai dermatitis atopik (AD) merupakan penyakit kulit kronik yang disebabkan keradangan kulit yang berpanjangan.

Ia akan menjadi bertambah buruk dalam tempoh beberapa tahun ataupun sepanjang hayat penghidapnya jika tidak dijaga dan dirawat dengan baik.

Jelasnya, dengan penjagaan kulit yang baik, penghidap penyakit ini boleh mendapat kulit yang sihat.

Ekzema mengakibatkan kulit kekeringan disebabkan kehilangan air dan senang kemasukan allergen yang menyebabkan ketidakselesaan pada kulit.

''Lazimnya ekzema berlaku pada kanak-kanak seawal dua hingga tiga bulan pertama dan lazimnya sebelum kanak-kanak meningkat ke umur lima tahun.

''Terdapat tiga fasa umur yang mengalami ekzema iaitu kosong hingga dua tahun, dua hingga 12 tahun dan dewasa.

''Terdapat sedikit perbezaan dari segi agihan pada kulit mengikut peringkat umur. Bagi bayi, lazimnya penyakit ini akan dikesan pada bahagian muka dan kulit kepala. Manakala untuk golongan remaja atau dewasa, kawasan yang terlibat seperti pelipat di bahagian siku, belakang lutut, buku lali, pergelangan tangan, muka, leher dan atas dada,'' ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Katanya lagi, dalam kebanyakan kes, mereka yang menghidap ekzema adalah disebabkan keturunan dan penghidapnya mungkin terdiri daripada bayi dan juga orang dewasa.

Tetapi bagi bayi, kebanyakannya akan beransur hilang apabila mencapai umur dua tahun iaitu lebih kurang 50 peratus tetapi ada juga yang kekal dan datang berkala. Tambah beliau lagi, penyakit itu akan menyebabkan kulit kemerah-merahan, berair dan gatal.

Bagaimanapun, ia dikategorikan sebagai bukan penyakit berjangkit dan tidak boleh berpindah daripada seorang bayi ke bayi lain.  Tetapi penyakit ekzema boleh berulang disebabkan jangkitan kuman, tekanan, perubahan cuaca, alahan kepada habuk dan sebagainya

Ulas Dr. Nor Mahani, masalah itu dialami oleh antara tujuh hingga 17 peratus daripada kanak-kanak seluruh dunia dan lebih 50 peratus kanak-kanak yang mengalami ekzema kebiasaannya turut mempunyai kombinasi penyakit asma dan alahan.

Katanya lagi, sebanyak 17 peratus pesakit ekzema diwarisi dari ibu atau bapa atau kedua-duanya sekali.

Untuk menghindarkan penyakit berulang, pesakit juga dinasihatkan supaya tidak menggunakan sabun biasa, sebaliknya menggunakan sabun pembersih badan atau pencuci bebas sabun yang mengandungi bahan pelembab bagi melembabkan dan mengelakkan kulit kering.

''Pembersih badan mestilah tidak mengalami bahan yang boleh menyebabkan kulit tidak selesa, memudaratkan, merosakkan atau menjejas lapisan pelindung kulit.

''Ini kerana sabun biasa akan mengakibatkan kulit menjadi lebih kering, bertambah gatal dan merosakkan lapisan pelindung kulit.

''Pesakit juga disarankan sentiasa memakai pelembab untuk mengurangkan risiko kulit kering dan menghentikan kehilangan lembapan yang boleh menyebabkan kulit menjadi gatal dan bersisik,'' katanya.

Tambahnya, lembapan yang baik mestilah tanpa haruman tetapi kaya emolien dan ia akan menyebatikan air dalam kulit sementara bertindak sebagai lapisan pelindung ketika proses penyembuhan.

Dengan ini ia dapat menghindar daripada jangkitan kuman seperti staphyloccus Aureus, herpes simplex dan ketuat.

Menurut Dr. Nor Mahani, dalam merawat masalah ekzema, mengelakkan kulit daripada kekeringan dan mengurangkan risiko jangkitan kuman ia merupakan perkara yang paling utama.
Ia juga untuk memastikan pesakit merasa aman, tidak gatal, kulit yang cantik dan juga mengajar pesakit untuk merawati diri supaya dapat mengurangkan masalah-masalah tersebut.

Dalam hal ini, pesakit dan orang yang menjaganya perlu diajar mengenai faktor-faktor yang boleh menyebabkan penyakit ini berulang, penyebab dan tanda-tanda di peringkat awal.
Untuk itu, salah satu cara untuk mengurangkan risiko penyakit ini ialah dengan memberi sepenuhnya susu badan sehingga bayi anda sekurang-kurangnya berusia enam bulan.

Bagi mereka yang memberikan susu formula dicadangkan agar memberi susu yang mempunyai protin hidrolis dan memulakan makanan tambahan pada umur lebih daripada enam bulan.

Oleh kerana penyakit ini kronik, rundingan dan nasihat daripada seorang doktor pakar amat mustahak supaya pesakit dan ibu bapanya betul-betul faham mengenai penyakit ini.

Bawalah berjumpa doktor pakar sekiranya anak anda atau anda sendiri mempunyai ciri-ciri menghidap penyakit kulit sekurang-kurangnya sekali bagi memastikan rawatan yang betul.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
COPYRIGHT AND TEMPLATE DESIGN ALL RIGHT RESERVED BY CIK ROSE CUTE wink