Soalan: 
SAYA ibu yang menyusu bayi pertama berusia sebulan.  Seringkali puting saya sakit ketika menyusukan bayi, tambahan pula bayi  saya baru tumbuh gigi, kini sukar untuk saya menyusukan bayi dengan  selesa. Adakah ia perkara biasa? dan bagaimanakah cara untuk  mengurangkan rasa sakit tersebut?
*  SJ-Johor
Jawapan: 
Sebagai seorang wanita yang bergelar ibu, terlebih dahulu saya ingin  mengucapkan syabas kepada Puan SJ kerana berusaha menjadi seorang ibu  yang berjaya dalam penyusuan. Susu ibu adalah hak setiap anak yang perlu  ditunaikan oleh seseorang ibu. Kejayaan seseorang ibu menyusui anaknya  sehingga berusia sekurang-kurangnya dua tahun akan menjadikan anda  seorang ibu yang cukup sempurna.
Menyusui bayi adalah satu tuntutan yang amat digalakkan oleh setiap  agama dan kepercayaan. Penyusuan susu ibu adalah tuntutan yang  diutamakan dalam agama Islam. Terdapat banyak ayat Al-quran yang  menyebut tentang kepentingan menyusui anak, sama ada oleh ibu yang  melahirkan anak ataupun ibu susuan. Seruan untuk menyusui anak telah  disebut melalui firman Allah di dalam Al-quran melalu surah Al-Baqarah  ayat ke 233 yang bermaksud: "Ibu-ibu hendaklah menyusui selama dua tahun  genap bagi mereka yang ingin menyempurnakan penyusuan". 
Menyusui bayi dengan susu ibu bukanlah sesuatu yang payah, ia juga  bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan. Pengetahuan tentang  penyusuan akan membantu meningkatkan keyakinan ibu dan seterusnya  mendorong ibu untuk mengatasi dugaan dan rintangan seperti mana yang  sedang puan hadapi.
Terdapat ibu yang mencerai susu ketika mereka rasa bayi mereka akan  mula tumbuh gigi, tetapi menyusu badan pada peringkat ini adalah suatu  yang normal dan semula jadi. Keperluan nutrisi bayi dipenuhi terutamanya  dengan susu untuk sekurang-kurangnya tahun pertama. Ramai bayi yang  diberi susu badan akan ada gigi dan kebanyakan tidak akan menggigit ibu  mereka. 
kesakitan
Tetapi jika pada kali pertama dia menggigit, iaitu jika bayi anda  tergigit payu dara anda, barangkali anda akan menjerit kesakitan. Reaksi  anda yang kuat itu mungkin akan memeranjatkan bayi anda sehingga dia  tidak berani mengulanginya. Sesetengah bayi boleh menjadi begitu  terkejut atau takut akibat reaksi kuat sehingga mereka menolak penyusuan  badan. 
Jika gigitan berterusan, anda masih tidak perlu mencerai susu bayi  anda kecuali jika anda mahu. Mengetahui apa yang menyebabkan dia  menggigit dan cuba memuaskan keperluan bayi anda untuk menggigit  menggunakan cara lain boleh menyelesaikan masalah ini dengan cepat. 
Kebanyakan ibu mendapati penyusuan badan tetap pengalaman yang baik  apabila mereka dapat hentikan kejadian menggigit ini. Sebab-sebab lain  mengapa bayi anda menggigit adalah ketika tertidur, sesetengah bayi  menggigit pada penghujung penyusuan apabila mereka terlelap. 
Oleh itu, perhatikan pemerlahanan dan pelemahan pergerakan rahangnya  dan alihkan bayi anda sebelum dia terlena. Justeru itu, jika bayi anda  kelihatan seperti hampir hendak menggigit, masukkan jari kelengkeng anda  ke dalam sudut mulut di antara gusinya. Dia patut menggigit jari anda  dan bukan puting anda. Jangan tariknya sementara dia sedang menggigit -  anda hanya akan mencederakan diri. Perhatikan penegangan rahangnya  sebelum dia menggigit dan cepat-cepat alihkannya. Anda mungkin perlu  singkatkan waktu menyusu secara am sehingga fasa ini berakhir. 
Cara-cara lain untuk menghentikan bayi yang menggigit adalah dengan  mengatakan "tidak" dengan tegas, merenung ke dalam matanya dengan marah  dan hentikan penyusuan. 
menggigit 
Dia perlu mengaitkan menggigit dengan kehilangan puting - kebanyakan  bayi tidak suka dengan perpisahan ini. Jika dia teruskan juga,  letakkannya di atas lantai untuk seketika sebaik saja dia menggigit. 
Untuk kanak-kanak yang boleh berjalan dan suka menggigit, lakukan sesuatu yang baik apabila dia tidak menggigit. 
Berikannya banyak pelukan, ciuman dan pujian. Jika anda rasa dia  inginkan perhatian, berikan perhatian sepenuhnya semasa penyusuan.  Belajar menyedari bila dia sudah hampir selesai. Anda juga jangan  menyusukannya kecuali dia betul-betul lapar. Hentikan penyusuan jika dia  mula terlelap. Berikannya gegelang gigit sebelum dan atau selepas  penyusuan.
Sumber: Utusan 


1 komen yang kalian berikan, tqsm..:
anak saya suka menggigit.. adehhh
Post a Comment